Site icon Sabah Baru News

Kumpulan Yayasan Sabah, MBMC, NRRN lanjut kerjasama di kawasan MBCA

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah, Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Maliau (MBMC), dan Rangkaian Penyelidikan Hutan Hujan Nordik (Nordic Rainforest Research Network, NRRN) bersetuju untuk meneruskan kerjasama di Kawasan Konservasi Lembangan Maliau (MBCA). 

Lanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun tersebut dimeterai pada 10 Februari bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) dan bakal memperkukuhkan lagi kerjasama antara ketiga-tiga pihak.


Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin  Madingkir semasa menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman tersebut berkata skop inisiatif perjanjian tersebut adalah berdasarkan MoU yang ditandatangani pada 12 Jun 2015 meliputi bidang penyelidikan lapangan, hab latihan dan pemupukan minat komuniti penyelidikan Nordik dalam menjalankan penyelidikan di Lembangan Maliau. 


Katanya ini termasuklah penyelidik dari Universiti Copenhagen, Sekolah Perniagaan Copenhagen dan Universiti Sains Pertanian Sweden bagi mempromosi, menyokong serta memudahkan aktiviti penyelidikan, pendidikan dan latihan khususnya di MBCA.


“Pelanjutan MoU ini akan tertumpu kepada MBCA dan kawasan sekitar bidang kuasa MBMC, semua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama selepas tarikh tamat MoU tersebut pada 11 Jun 2020.


“MoU ini adalah satu langkah penting dan usaha berterusan dalam melindungi serta memelihara hutan hujan Sabah yang amat berharga. 


“Menerusi kerjasama ini juga kita dapat menjalankan penyelidikan lebih mendalam mengenai biodiversiti unik hutan hujan kita di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan,” katanya.


Tambahnya menerusi usaha itu juga kepakaran saintis dan penyelidik terkemuka dapat dimanfaatkan untuk memahami ciri unik hutan hujan Sabah dengan lebih baik di samping membangunkan strategi pemuliharaan yang berkesan. 


“Kita juga akan dapat bekerjasama dengan masyarakat tempatan bagi memastikan mata pencarian serta warisan budaya dihormati dan dilindungi.


“Jalinan kerjasama ini bakal membawa kemajuan yang ketara dalam pemahaman berkenaan hutan hujan Sabah dan membuka jalan mengenai usaha pemuliharaan yang lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya.


Sementara itu Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sam Mannan berkata Kumpulan Yayasan Sabah yakin kerjasama ini bakal menyumbang secara signifikan terhadap inisiatif penyelidikan saintifik positif, khususnya dalam menilai, memantau dan mengurus sumber biodiversiti secara mampan di samping mempromosikan faedah hutan hujan tropika kepada generasi kini dan masa hadapan.


“Perjanjian lanjutan antara Kumpulan Yayasan Sabah, MBMC dan NRRN ini dijangka akan menarik minat lebih ramai komuniti penyelidik Nordik untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan di Lembangan Maliau,” katanya.


Tambahnya menyedari hakikat strategi pemuliharaan yang dilaksanakan dengan baik memerlukan dasar kerajaan yang kukuh serta pewujudan kerjasama pintar, Kumpulan Yayasan Sabah terus membina perkongsian dengan pelbagai rangkaian organisasi global untuk mencapai impak yang lebih ketara dalam menangani cabaran pemuliharaan selain memperoleh ilmu serta kepakaran berkaitan.


“Sebagai salah satu kawasan konservasi Kumpulan Yayasan Sabah, Lembangan Maliau kini bersedia untuk pencapaian konservasi tahap tinggi menerusi kerjasama dengan NRRN.


“Usaha itu juga bagi menjadikannya sebagai kawasan penyelidikan, pendidikan dan latihan penting di rantau ini,” katanya semasa menandatangani perjanjian persefahaman tersebut bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah.


Turut hadir ialah Pengurus Kumpulan, Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar Dr. Waidi Sinun, Pengerusi MBMC Datuk Frederick Kugan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Sr. Haji Mohd. Yusrie Abdullah serta Pengerusi NRRN Prof. Ida Theilade yang menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak NRRN bersama Setiausaha NRRN Dr. Ulrik Ilstedt.

— Vivi Olviana Najurus

Exit mobile version