Site icon Sabah Baru News

‘UMNO kini sanjung mulia apa saja dibuat Kerajaan Perpaduan walaupun tidak munasabah’ – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan ada beberapa kekeliruan berkaitan laporan ‘UMNO dilanyak’ seperti diterbitkan dalam wawancara beliau bersama media sebelum ini.


Sebaliknya Naib Presiden UMNO itu berkata, perkara yang sebetulnya adalah mengenai kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan beliau selama ini.


Katanya, untuk mengukuhkan UMNO, Perdana Menteri dan 14 daripada 29 Menteri Kabinet adalah daripada Barisan Nasional (BN) iaitu separuh daripada pembentukan kerajaan.


“Saya agak kecewa, tapi saya tidak pernah menunjukkan kekecewaan saya. Saya Perdana Menteri daripada UMNO, untuk mengukuhkan UMNO, daripada 29 Menteri Kabinet, 14 adalah Menteri Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, jadi separuh Kabinet itu.


“Walaupun kita hanya ada 42 kerusi di Parlimen tetapi saya ditekan oleh UMNO sendiri seperti saya bukan Menteri UMNO. Itu yang saya maksudkan dalam wawancara bersama media tempoh hari,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.


Beliau dilaporkan berkata, menjadi kebiasaan juga bagi mana-mana tokoh untuk menyatakan kepimpinannya terdahulu lebih baik daripada yang berikutnya.


“Itu pendapat beliau (Ismail Sabri). Selalunya begitulah apabila seseorang atau mana-mana tokoh yang sudah meninggalkan jawatan berpuluh tahun, lima tahun, sembilan tahun, 22 bulan, 17 bulan atau lebih 14 bulan, mereka merasakan kepimpinan yang diterajui mereka adalah terbaik dan selepas itu semua tak baik,” katanya.


Menerusi video berdurasi 1 minit 41 saat itu, Ahli Parlimen Bera itu turut menjelaskan dirinya yang dikritik teruk seolah-olah kerajaan pimpinan UMNO ketika itu adalah pembangkang.


“Setiap apa yang berlaku, tekanan adalah terlalu kuat kepada saya, cadangan-cadangan yang bagus, saya setuju.


“Saya boleh kata, kenapa tidak gunakan saluran yang betul, untuk diberi pandangan dari parti, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setiap bulan, beritahu saya apa patut kita buat, tak payahlah bantai saya dalam surat khabar, ini dalam media secara terbuka serang saya,” katanya.


Ismail Sabri berkata, dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan ketika ini, hanya ada enam menteri dari UMNO termasuk seorang Timbalan Perdana Menteri.


“Namun mereka kata ia pencapaian besar kepada kita (UMNO), sedang saya (ketika jadi Perdana Menteri) ada 14 Menteri daripada BN.


“Tiada satu kepemimpinan UMNO kritik kerajaan (ketika ini), berbanding dahulu saya sesama UMNO, dikritik begitu teruk seperti kita ini pembangkang, kita dilanyak seperti kita ini pembangkang, UMNO ini seolah-olah pembangkang waktu itu kerajaan saya perintah.


“Lebih mengecewakan, kerajaan hari ini disanjung begitu mulia, perkara tidak munasabah yang dilakukan oleh kerajaan, mereka yang mempertahankan. Saya sangka saya dipertahankan, kalau kritik itu terlalu keras, mungkin mereka boleh jadi perisai kepada saya, tetapi dahulu mereka sertai bersama untuk serang saya,” katanya.

— Mahani Ishak

Exit mobile version