Site icon Sabah Baru News

Sokongan BN Malaysia terhadap kepimpinan Hajiji berupaya kukuhkan lagi kepimpinan kerajaan negeri- Mohd Shahril

KOTA KINABALU: Ketetapan yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) Malaysia menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya Dr. Zambry Abd Kadir yang menyatakan BN menyokong dan mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan di Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, merupakan satu tindakan yang tepat.


Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, walaupun Ketua Menteri telah mendapat sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum ini dan terbaru tiga lagi ADUN bertindak keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) dan menyokong kepimpinan Hajiji, sokongan yang diberikan BN Malaysia secara tidak langsung berupaya mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan perpaduan Sabah.


Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shahril turut menyarankan kepada semua pihak terutama pemimpin politik supaya menolak tepi kepentingan peribadi kerana ia bukan sahaja merugikan tetapi juga melambatkan sebarang proses pembangunan.


Sebaiknya jelas beliau, adalah lebih baik pemimpin serta wakil rakyat meletakkan fokus untuk mengangkat masalah negeri serta rakyat dan bersama-sama bekerjasama berjuang menyelesaikannya bagi menguatkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan.


Dr. Zambry pada Ahad berkata, pendirian untuk memberi sokongan dan mendukung pentadbiran kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Hajiji sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan dalam membentuk kerajaan perpaduan Malaysia.


Beliau memberitahu, sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya yang termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah.


“BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan, sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui kerajaan perpaduan Sabah,” katanya Dr Zambry.


Menerusi kenyataan itu juga, BN Malaysia turut menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yakub Khan untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan kerajaan perpaduan di Sabah.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version