Site icon Sabah Baru News

Belum ada keputusan berkait lesen memandu digital, kata menteri

Loke Siew Fook berkata Kementerian Pengangkutan mengambil pendekatan menyelesaikan satu persatu berkaitan perkara itu.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan belum membuat keputusan sama ada mahu menghapuskan sepenuhnya lesen memandu fizikal dan mengakui kerajaan tidak boleh memaksa rakyat menerima sistem digital.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan mengambil pendekatan menyelesaikan satu persatu berkaitan perkara itu.

“Kami akan menilai semula perkara ini enam ke 12 bulan akan datang bagi melihat sama ada kadar penerimaan mencapai tahap memuaskan, dan dari situ, kita akan membuat keputusan sama ada untuk pergi kepada digital sepenuhnya,” katanya selepas pelancaran inisiatif Arts on The Move.

Ketika mengumumkan pelaksanaan lesen memandu digital Jumaat lalu, Loke berkata, ia tidak wajib dan lesen fizikal masih boleh diperoleh daripada Jabatan Pengangkutan Jalan.

Loke berkata, beliau maklum tidak semua akan menyokong lesen memandu digital itu terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Kami faham tentang hal itu. Ada masalah internet. Kami tidak paksa rakyat untuk memilih digital,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sedia berbincang dengan operator untuk mengurangkan tambang Express Rail Link (ERL) selepas pengguna mengadu harga tiketnya terlalu mahal.

Ini termasuk pas untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari, kebanyakannya penumpang yang bekerja di lapangan terbang.

Tiket ERL berharga RM55 untuk perjalanan 28 minit dari KL Sentral ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau ke klia2 (kira-kira 33 minit)

— Reshna Reem Ganesan

Exit mobile version