Site icon Sabah Baru News

Cadangan wajib pembayaran elaun latihan industri sektor swasta dibawa ke Kabinet – Hannah

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta seperti yang dilaksanakan sektor awam akan dibawa ke Kabinet untuk perbincangan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.


Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia perlu berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan dalam memperluaskan pelaksanaan cadangan itu kepada sektor swasta.


“Buat masa ini kerajaan tidak mewajibkan mana-mana syarikat swasta untuk membayar elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri.


“Bagaimanapun kerajaan amat menggalakkan agar syarikat swasta mencontohi kerajaan dalam melaksanakan pembayaran elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.


Beliau berkata pada masa ini kementerian mengambil maklum pelaksanaan cadangan itu adalah tidak sesuai kerana kebanyakan syarikat swasta masih dalam proses pemulihan pasca COVID-19.


“Pada 2021, 85 orang memohon untuk buat latihan industri, tetapi disebabkan kekangan kewangan kita hanya boleh terima 47 orang… bermaksud kalau tidak diwajibkan pembayaran (elaun) kemungkinan besar syarikat atau agensi boleh beri peluang kepada semua untuk berlatih (latihan industri),” katanya.

— BERNAMA

Exit mobile version