Site icon Sabah Baru News

Sabah, Sarawak perlu peruntukan lebih besar untuk rapat jurang pembangunan, kata ahli ekonomi

PETALING JAYA: Seorang ahli ekonomi menggesa kerajaan agar menambah peruntukan untuk Sarawak dan Sabah dalam Bajet 2023 yang disemak bagi merapatkan jurang pembangunan di Malaysia.

Madeline Berma daripada Institut Masa Depan Malaysia (Masa) berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertingkatkan usaha menaik taraf infrastruktur serta kualiti pendidikan di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Dari segi infrastruktur luar bandar, terdapat begitu banyak gembar-gembur mengenai Lebuhraya Pan-Borneo,” katanya kepada FMT, merujuk kepada projek besar yang akan menghubungkan kedua-dua negeri dari utara ke selatan pulau Borneo.

“Namun terdapat banyak rumah panjang di Sarawak yang tidak terhubung dengannya kerana kekurangan jalan pantai dan luar bandar, yang diperlukan.”

Madeline berkata, Putrajaya juga mesti meningkatkan kualiti pendidikan di Sabah dan Sarawak. Ia bukan semata-mata tentang membina lebih banyak sekolah atau menaik taraf yang sedia ada, tambahnya.

Katanya, kerajaan juga harus mempertimbangkan menyediakan gaji yang berpatutan bagi guru di kedua-dua negeri dalam belanjawan.

“Sudah 60 tahun (sejak pembentukan Malaysia) dan kedua-dua negeri masih terpinggir dan terabai. Sarawak dan Sabah perlu mengejar (Semenanjung),” katanya.

“Kerajaan perpaduan mesti selaras dengan konsep Malaysia Madani yang tersendiri. Salah satu nilai terasnya adalah kemampanan dan ini harus dicerminkan untuk Sarawak dan Sabah dalam belanjawan akan datang,” katanya.

Madeline turut memetik laporan “Malaysia Economic Monitor February 2023” oleh Bank Dunia, yang menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi serantau Malaysia tidak sejajar.

Pengumuman Bajet 2023 asal pada Oktober 2022 memperuntukkan RM5.4 bilion dan RM6.3 bilion, masing-masing untuk pembangunan di Sarawak dan Sabah.

Pada masa yang sama, RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah usang di Sarawak dan Sabah. Bagaimanapun, peningkatan kualiti pendidikan tidak disebut.

Sementara itu, Firdausi Suffian daripada UiTM Sabah berkata, walaupun lebih banyak dana perlu diperuntukkan kepada kedua-dua negeri dari segi pembangunan dan pendidikan, terdapat keperluan untuk desentralisasi yang lebih besar.

Beliau berkata, lebih mudah bagi kedua-dua negeri untuk mengurus dari segi perancangan, sambil menegaskan bahawa kerajaan persekutuan hanya mengambil pandangan umum tentang apa yang diperlukan.

Tambahnya, kerajaan perlu melihat dengan lebih mendalam isu-isu yang dihadapi.

“Walaupun Sarawak dan Sabah menerima dana untuk membaiki sekolah usang, masalahnya tetap wujud, iaitu kekurangan akses kepada sekolah di kawasan pedalaman.

“Perlu lebih banyak peruntukan dari segi pendigitalan dan pengangkutan ke sekolah.

“Kemudahan sekolah juga harus setanding dengan sekolah lain di Semenanjung dari segi pendidikan berkualiti,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, tiada guna lebih banyak dana diperuntukkan jika ia tidak digunakan dengan baik.

Di Sabah, katanya, kerajaan persekutuan malah tidak membelanjakan 55% daripada peruntukan yang dimaksudkan untuk projek-projek.

“Sejak tiga tahun lepas, data menunjukkan lazimnya (perbelanjaan) pada tahap 45% hingga 45.5%. Ini bermakna, penyelarasan dan perancangan untuk pembangunan negeri bawah kerajaan persekutuan perlahan.”

Sabah sebelum ini diberi geran khas RM26 juta, baru-baru ini dinaikkan kepada RM260 juta oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, negeri tersebut diberi autonomi ke atas projek infrastruktur bernilai bawah RM50 juta.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, akan membentangkan semula bajet pada 24 Feb.

Samuel Chua

Exit mobile version