Site icon Sabah Baru News

Lebih 2,000 peluang pekerjaan sempena karnival PERKESO

TAWAU: Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja di daerah ini sempena Program Jerayawara Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO 2023.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, sebanyak 17 majikan pelbagai sektor terlibat dalam karnival yang dianjurkan kali ini.


“Karnival ini adalah usaha kerajaan yang berterusan bagi memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan khasnya di daerah Tawau dan sekitarnya mendapat peluang pekerjaan.


“Ia sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan dialami oleh rakyat berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara sebelum ini,” katanya.


Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Kerjaya dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO 2023, di sini hari ini.


Menurutnya, bagi menambah baik liputan keselamatan sosial, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO telah menguatkuasakan siling gaji baharu bagi caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.


“Peningkatan sebanyak 25.3 peratus itu telah memberikan nilai tambah faedah yang lebih tinggi kepada pekerja sekiranya berlaku sebarang kemalangan termasuklah mengakibatkan hilang upaya,” katanya.


Selain itu, katanya, kerajaan turut  memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi memastikan golongan Suri Rumah mendapat pembelaan dari segi perlindungan yang komprehensif di dalam keselamatan sosial.


“Ini merupakan pengiktirafan kepada golongan suri rumah yang mana bertindak selaku ‘care economy’ serta pembangunan institusi rumah tangga.


Rina berkata, SKSSR juga membuktikan kerajaan Malaysia sentiasa berusaha dalam memastikan perlindungan sosial bagi seluruh pelusuk rakyat Malaysia adalah diliputi.
Turut hadir, Pengarah PERKESO Sabah, Dr Mohd Ali Hinda.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version