Site icon Sabah Baru News

Sarjan polis ditemukan maut dengan kesan tembakan akan disemadi di Sri Aman

Sandra (kiri) berkata, meskipun terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun dia reda dengan pemergian suaminya itu. – Foto Astro AWANI

GEORGE TOWN: Jasad mendiang Sarjan Jana Anak Milie, 51, yang ditemukan maut dengan kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas semalam akan disemadikan di kampung halamannya di Sri Aman, Sarawak.

Jasad mendiang dijangka dibawa pulang dengan menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.

Terdahulu, jasad bapa kepada tiga cahaya mata itu dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 4.10 petang tadi dengan menggunakan kenderaan jenazah persendirian.

Turut kelihatan isteri dan anak serta saudara-mara yang datang dari Sarawak.

Isterinya, Sandra Anak Kuno, 50, berkata, mendiang suaminya sudah 32 tahun berkhidmat dalam pasukan polis tinggal di Pulau Pinang bersamanya dan anak bongsu, manakala dua lagi anak mereka menetap di Sri Aman.

Jasad bapa kepada tiga cahaya mata itu dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 4.10 petang tadi dengan menggunakan kenderaan jenazah persendirian. – Foto Astro AWANI

Sandra berkata, meskipun terkejut dengan kejadian yang berlaku, namun dia reda dengan pemergian suaminya itu.

“Dia seorang suami yang baik, suka dengan anak-anak dan peramah dengan semua orang, selalu bergurau serta tidak pilih kawan sama ada lelaki atau perempuan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku. Kami tinggal di sini sama-sama. Dia tidak tunjuk sebarang apa-apa tanda. Sembang, makan, minum dan tidur macam biasa,” katanya ketika ditemui petang tadi.

Sandra berkata, jasad mendiang suaminya akan disemadi mengikut adat resam kaum Iban selama tiga hari dan dikebumikan di Kampung Sutong, Sri Aman, Sarawak, pada Jumaat ini.

Pada Ahad, mayat anggota polis berpangkat Sarjan itu ditemui dengan kesan tembakan pada kepala, leher dan dada di belakang bangunan Balai Polis Bayan Lepas sekitar 3.30 petang.

Turut ditemui sepucuk pistol bersamanya di tempat kejadian.

AWANI

Exit mobile version