Site icon Sabah Baru News

‘Saya tak kata Menu Rahmah sebabkan kanser’, Halimah gesa periksa hansard

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, menafikan beliau mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan penyakit kanser serta meminta pengkritik merujuk hansard Dewan Rakyat untuk mengesahkan kenyataannya sebelum ini.

“Saya tak kata Menu Rahmah sebabkan kanser… dengar betul-betul dan periksa hansard dengan hati yang bersih,” katanya di Dewan Rakyat.

Halimah sebelum ini didakwa mengaitkan inisiatif Menu Rahmah dengan autisme dan kanser semasa perbahasan Dewan Rakyat pada 14 Feb.

Perbahasan hari ini kecoh apabila Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menggesa Halimah dikeluarkan daripada Dewan kerana komen minggu lalu itu.

“Mana dia dapat Menu Rahmah sebabkan orang kanser dan autisme? Kapar kena tarik kerana bawa fitnah di dalam Dewan yang mulia ini,” katanya.

Halimah bangkit untuk berkata beliau tidak menyatakan Menu Rahmah menyebabkan kanser, dan minta kenyataannnya didengar semula atau disemak dalam hansard.

Di bawah adalah transkrip yang diperoleh daripada rekod rasmi yang boleh didapati di laman web Parlimen.

“Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana masa tak banyak, saya nak sebutkan tentang ‘food security’ (keselamatan makanan) dan ‘health security’ (keselamatan kesihatan).”

“Ini semuanya keperluan asas. Kita tak mahu – saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan.”

“Kita tidak mahu ‘shortcut’ (jalan pintas), kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang ‘low quality’ (kualiti rendah).”

“Saya tidak ada masalah dengan istilah “rahmah” atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan ‘low quality’ dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.”

Kenyataan Halimah minggu lalu mengundang kecaman beberapa Ahli Parlimen dan kumpulan berkaitan autisme.

Beliau memberitahu Malay Mail Online kenyataannya telah disalahertikan.

Beliau berkata, apa yang dimaksudkan ialah kualiti bahan mentah kurang baik yang digunakan oleh restoran untuk Menu Rahmah “boleh menyebabkan kualiti hidangan terjejas”.

Program Menu Rahmah adalah satu inisiatif kerajaan menggalakkan pengusaha makanan menjual makanan pada harga RM5 atau kurang, diperkenalkan pada Januari.

— Jason Thomas

Exit mobile version