Site icon Sabah Baru News

Anwar beri jaminan tiada pihak dilindungi dalam isu Pandora Papers

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan badan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan siasatan ke atas isu Pandora Papers.


Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan seharusnya tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit sebaliknya mengambil tindakan tegas sesuai dengan bukti.


“Arahan saya kepada badan ini untuk teruskan siasatan dan saya mohon semua pihak bersikap tegas, jangan lindungi… kalau ada bukti maka tindakan perlu diambil
“Kalau tindakan diambil tanpa fakta, bukti itu boleh dicabar atas dasar penyalahgunaan kuasa atau kepentingan politik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri berhubung pendirian kerajaan mengenai isu Pandora Papers yang timbul semula minggu lalu serta sejauh manakah siasatan dan tindakan susulan oleh SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan.


BH pada 14 Februari lalu melaporkan seorang bekas Menteri Kewangan disiasat SPRM berhubung Pandora Papers yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.


BH dimaklumkan, siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu termasuk bekas menteri dan individu kenamaan lain serta keluarga mereka, selain kaitannya dengan syarikat luar pesisir di luar negara.


SPRM juga menyiasat kemungkinan ada hubung kait kewangan yang dimiliki, hasil daripada tender dan projek kerajaan. Setakat ini, tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.


Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.


Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.


Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa , Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai ‘peguam bela’ kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.


Anwar ketika itu berkata, pendedahan Pandora Papers itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion ringgit.


Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity (GFI) 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.


GFI dan Panama Papers antara lain mendedahkan pengaliran wang serta negara secara haram ke luar negara berjumlah RM1,800 bilion sejak 2004 hingga 2015.

— EDITOR,BH

Exit mobile version