Site icon Sabah Baru News

PPPM antara NGO relevan sepanjang masa – Nizam

TAWAU: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang relevan sepanjang masa dan kini mempunyai keahlian 75, 000 di seluruh Malaysia, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurutnya, PPPM yang juga merupakan salah satu unit beruniform diminati ramai di sekolah, kini menjadi ahli gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Justeru, beliau berharap persatuan ini akan terus berkembang dan cemerlang dalam mendidik anak-anak gadis daerah Tawau, khasnya, sejajar dengan salah satu kaedah asas yang ditekankan dalam kepanduan iaitu khidmat bakti dengan slogan ‘selalu sedia’.

Nizam berkata, persatuan ini mempunyai komitmen untuk melahirkan golongan remaja wanita dan wanita dewasa yang berkaliber melalui penerapan ilmu kemahiran dan nilai kepanduan demi agama bangsa dan negara.

“PPPM juga bertujuan menjadi sebuah organisasi yang dinamik dan efektif untuk remaja dan wanita dewasa.

“Persatuan ini menyediakan program kepanduan yang bercorak pendidikan bukan formal seperti perkhemahan, kembara, kemahiran ikat-mengikat, kemahiran memasak menggunakan sebatang macis dan sebagainya,” katanya lagi.

Nizam berkata demikian pada Perhimpunan Hari Peringatan Sedunia Persatuan Pandu Puteri peringkat daerah di Dewan Tun Ahmad Shah, Kolej Vokasional Tawau, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Tawau, Ghazali Shah dan Pengerusi Majlis Tempatan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Tawau, Norshima Abdul Razak.

Dalam pada itu, beliau memuji PPPM Tawau yang sentiasa aktif dengan berbagai program samada di peringkat daerah, mahupun sekolah.

Katanya, aktiviti-aktiviti dan program dirancang itu mampu memberi manfaat kepada para pelajar tunas remaja dan renjer untuk faedah diri dan masyarakat amnya.

“Syabas sekali lagi kepada persatuan ini yang berjaya menghimpunkan semua ahli-ahli bagi meraikan hasir peringatan sedunia yang bertemakan ‘Our World Our Peaceful Future’ yang disambut pada setiap tahun,”katanya.

Sambutan itu diadakan bagi memperingati hari kelahiran pengasas Pandu Puteri dan Pengakap Lord Baden Powel.

— Lagatah Toyos

Exit mobile version