Site icon Sabah Baru News

RM97.5 juta peruntukan pembangunan belia, sukan Sabah – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU: Sebanyak RM97.5 juta peruntukan disediakan kerajaan negeri kepada Kementerian Belia dan Sukan tahun ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, peruntukan berkenaan untuk pembangunan belia dan sukan, menaik taraf kemudahan sukan serta penyediaan pengajian sains sukan di negeri ini.


Katanya, usaha itu juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memajukan pembangunan sukan di Sabah.


Sebagai Ketua Menteri, beliau  mahu melihat Sabah melahirkan lebih ramai atlet dan ahli sukan hebat yang akan membawa kegemilangan sukan kepada negeri dan negara.


Menurutnya, ramai dalam kalangan atlet di negeri ini yang cemerlang dan membanggakan nama Sabah serta negara dalam arena sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kejohanan Ragbi Borneo Sevens 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.


Dalam pada itu Hajiji berkata, dalam arena sukan negeri, tumpuan juga perlu diberikan kepada sukan seperti ragbi supaya lebih ramai bakat muda dapat dicungkil dan dibangunkan.


“Seperti yang kita semua tahu, Sabah menjadi salah satu ‘power-house’ (pasukan hebat) sukan ragbi di Malaysia dan saya amat berbangga kerana pasukan ragbi lelaki Sabah cemerlang dan berjaya memenangi Piala Agong lima kali berturut-turut setakat ini.


“Ini petanda baik untuk ragbi di negeri ini dan saya ingin melihat pasukan ragbi kita mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.


Beliau berkata, dengan Kesatuan Ragbi Sabah dan Kelab Ragbi Eagles antara perintis dalam melaksanakan teknik dan modul terkini dalam pembangunan sukan.


Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan masa depan yang baik untuk permainan ragbi di negeri ini.


Selain itu, beliau turut gembira selepas mendapat tahu pihak berkaitan sukan ragbi di Sabah menetapkan standard dalam pembangunan sukan yang harus dicontohi ramai.


“Dengan kehadiran pasukan luar negara ternama dan pasukan terbaik Malaysia beraksi, peminat sukan khususnya peminat ragbi akan melihat kecemerlangan ragbi pada Mac depan.


“Saya yakin Borneo Sevens akan terus berkembang secara berprestij untuk menjadi acara teras dalam kalendar kejohanan untuk semua pasukan ragbi di rantau ini,” katanya.


Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fatt; Timbalan Setiausaha Tetap (Sektor Belia) Kementerian Belia dan Sukan William Ahlan dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Olimpik Malaysia Timur Dr. KH Tan. 

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version