Site icon Sabah Baru News

Selesai bela diri, lima ADUN tunggu keputusan rasmi Lembaga Disiplin UMNO

KOTA KINABALU: Kesemua lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah selesai membela diri dan hanya menunggu keputusan rasmi Lembaga Disiplin UMNO.

Ahli Parlimen Putatan merangkap ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Lembaga Disiplin UMNO akan membuat keputusan, jadi beliau tidak boleh mendahului keputusan yang akan dibuat oleh lembaga berkenaan.

“Saya seorang daripada ADUN UMNO Sabah yang dipanggil Lembaga Disiplin untuk membuat pembelaan atas pertuduhan yang telah dinyatakan. 

“Maka, kita berserah kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat keputusan jadi, kita tunggulah,” katanya selepas Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan dan Karnival Perpaduan Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat Daerah Putatan, di sini hari ini.

Lima ADUN UMNO yang dipanggil Lembaga Disiplin ialah Datuk Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) yang sebelum ini menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyatakan penyertaan Yusof Yacob ke dalam UMNO belum diterima.

Pada 6 Januari lalu, Bung Moktar mengumumkan sebahagian ADUN UMNO menarik sokongan daripada Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Namun, lima ADUN yang dipanggil Lembaga Disiplin itu menandatangani akaun bersumpah (SD) bagi menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Mengulas tentang tindakan ADUN UMNO keluar parti, Shahelmey berkata, tindakan itu adalah hak masing-masing namun, keputusan itu dibuat atas kesedaran bahawa kepentingan serta kestabilan politik di Sabah perlu diperkukuhkan.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri itu berkata, politik yang stabil penting agar pentadbiran negeri dan agenda pembangunan negeri sepertimana Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dijayakan.

Pada Selasa, lima ADUN UMNO iaitu Yusof Yacob, James Ratib, Jasnih Daya, Mohd. Arsad Bistari dan Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung) mengumumkan keluar UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Mengenai kedudukan UMNO Sabah, Shahelmey berkata, perkara itu biarlah diputuskan oleh kepemimpinan UMNO Sabah.

— SURAIDAH ROSLAN

Exit mobile version