Site icon Sabah Baru News

Peruntukan khas bantu segerakan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah

KOTA KINABALU: Peruntukan khas lebih RM20 bilion akan membantu Sabah mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) fasa satu yang masih belum siap.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pelaksanaan LPB fasa satu di Sabah masih memerlukan peruntukan untuk disiapkan.

“Kalau kita lihat di Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo fasa satu mereka sudah hampir siap tetapi di Sabah belum lagi. 

“Maka, pengumuman peruntukan khas dalam Belanjawan 2023 semalam amat dialu-alukan,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan hari ini.

Beliau juga menyambut baik peruntukan RM6.5 bilion kepada Sabah yang menunjukkan peningkatan.

Di samping itu, pengumuman peruntukan bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sabah juga amat dialu-alukan kerana Sabah mempunyai lebih 400 sekolah daif.

Malah keperluan menaik taraf sekolah daif itu juga telah dibahaskan dalam Titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Selain itu, usaha menaik taraf klinik-klinik kesihatan di Sabah yang berada dalam keadaan daif amat tepat pada masanya kerana komuniti atau masyarakat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar perlu mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM388.1 bilion dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan.

Daripada jumlah itu, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan pembangunan dalam jumlah yang besar masing-masing sejumlah RM6.5 bilion dan RM5.6 bilion.

Malah, Anwar menyatakan kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah-Sarawak Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan RM20 bilion dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

— SURAIDAH ROSLAN

Exit mobile version