Site icon Sabah Baru News

Hormat kepada warga emas – Masidi

RANAU: Generasi muda dinasihatkan untuk menghargai segala pengorbanan golongan warga emas.


Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, golongan warga emas sudah memainkan peranan besar dalam aspek pembangunan negara.


“Golongan muda perlu mengambil perhatian terhadap kebajikan warga-warga emas termasuklah kesihatan, pakaian serta makanan dan minuman mereka.


“Itu adalah tanggungjawab kita terhadap pengorbanan khususnya ibu bapa masing-masing yang kini sudah menjadi warga emas,” katanya ketika merasmikan Majlis Hari Warga Emas anjuran Persatuan Hakka Ranau di sini, kelmarin.
 
Masidi dalam pada itu turut memuji Persatuan Hakka Ranau kerana berjaya melaksanakan program seumpamanya setiap tahun termasuk memberikan sumbangan kepada 50 warga emas yang terlibat.


Menurutnya, sumbangan disampaikan adalah bukti keprihatinan persatuan berkenaan untuk menghargai sumbangan golongan itu dalam pembangunan masyarakat.
 
Sementara itu, Masidi juga memaklumkan kerajaan kini dalam perancangan meneruskan pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan Tamparuli dengan Ranau.


“Pembinaan ini akan memakan kos tinggi terutamanya melibatkan pembinaan jalan terowong bagi mengelakkan berlakunya lebih banyak kejadian tanah runtuh,” katanya.


Selain itu katanya, kerajaan juga akan mempercepatkan usaha memindahkan kawasan tadahan air di Sungai Kimolohing ke Sungai Nikimura bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air bersih di Ranau.


Hadir sama ialah Presiden Persatuan Hakka Ranau Datuk Jimmy Tham serta tetamu kehormat yang lain.

— Yap Siong Han

Exit mobile version