Site icon Sabah Baru News

MPT serah Sijil Menduduki Taman Residensi Ranggu PR1MA Tawau

TAWAU: Pembeli projek Taman Residensi Ranggu PR1MA Tawau boleh menarik nafas lega selepas pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mengeluarkan Sijil Menduduki perumahan tersebut.


Penyerahan tersebut dilakukan oleh Presiden MPT, Joseph Pang kepada Perunding Pengurusan Pembinaan Taman Residensi Ranggu PR1MA Tawau, Rifkiy Maring, di Pejabat MPT, hari ini.


Turut disaksikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan ADUN Balung, Datuk Hamild Awang.


Nizam berkata, pihaknya sebelum ini berjumpa dengan wakil pembeli rumah berkenaan yang meminta pihak kerajaan campur tangan menangani masalah kelewatan menduduki perumahan tersebut.


“Saya bersama ADUN Balung telah memberi komitmen untuk membantu supaya semua pembeli dapat memasuki rumah mereka sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.


“Syukur hari ini, Sijil Menduduki perumahan tersebut sudah dikeluarkan setelah pihak MPT berpuas hati dengan semua syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.


Beliau berharap pihak pemaju dapat menyelesaikan masalah kecil di perumahan tersebut termasuklah jalan raya, lampu dan perkara teknikal lain.


“Kita tidak mahu lagi terdapat aduan dan isu daripada pembeli pada masa akan datang yang boleh menyusahkan semua pihak,” katanya.


Katanya, pihaknya juga berterima kasih dengan Datuk Nizam dan Datuk Hamild kerana banyak memberi sokongan sehingga projek perumahan ini berjaya terlaksana.


“Pemimpin dan pihak MPT turut membantu kami sehingga berjaya menerima Sijil Menduduki ini serta menyelesaikan permasalahan bersama pembeli.


“Penyerahan kunci kepada pembeli perumahan ini akan dilaksanakan dalam masa tiga minggu akan datang sekiranya semua prosedur berjalan lancar,” katanya.


Terdahulu, Utusan Borneo pada 13 November tahun lalu melaporkan lebih 1,000 pembeli projek perumahan tersebut mengadakan perhimpunan aman mendesak dipercepatkan menduduki rumah mereka.


Pembeli yang terdiri daripada penjawat awam dan pesara kerajaan itu terbeban kerana terpaksa menyewa, malah perlu membayar ansuran rumah berkenaan yang mula dipotong daripada gaji sejak tahun 2017 lagi.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version