Site icon Sabah Baru News

Peka taktik baharu penyalahgunaan dadah – James

PAITAN: Agensi berkaitan digesa untuk peka dengan taktik baharu penjenayah dalam melakukan aktiviti penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa seiring peredaran zaman.


Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib berkata masalah penagihan dadah bukanlah perkara baharu dan dilihat semakin menular dengan pelbagai taktik penghasilan dan pengedaran dadah itu sendiri.


Beliau yang juga juga Pengerusi Pemadam Sabah berkata pelbagai cabaran perlu ditempuh termasuk teknologi pembuatan dadah yang semakin canggih sesuai peredaran zaman.

“Begitu juga kaedah mendapatkan bekalan dadah kini yang dilihat amat mudah hanya dengan sentuhan dihujung jari secara dalam talian sebelum bekalan sampai ke tangan pembeli secara mudah.


“Pihak pengedar juga mengambil kesempatan dengan menggunakan ‘keldai dadah’ sebagai kambing hitam untuk mengaut keuntungan,” katanya.


James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Program TABAH dan Program Kempen Sayangi Keluarga Daerah Kecil Paitan di sini.


Program TABAH iaitu ‘Tegas, Amanah, Berani, Adil dan Harmoni’ dan Program Kempen Sayangi Keluarga adalah anjuran bersama KPMKR dan Biro Hal Ehwal Wanita Pemadam Sabah dengan kerjasama dengan Pejabat Daerah Kecil Paitan. 


Program TABAH adalah kesedaran dan motivasi kepada komuniti setempat tentang bahaya penyalahgunaan dadah manakala Program Kempen Sayangi Keluarga adalah program khusus untuk pendedahan teknik dan kemahiran penjagaan warga emas. 


Program yang dimulakan di Daerah Kecil Paitan akan diteruskan ke Ranau, Kunak, Kudat dan Nabawan. 


Sementara itu James berkata jangka hayat warga emas dijangka bertambah setiap tahun, dan ini adalah kesan langsung daripada kemajuan perubatan, kemudahan bantuan perubatan dan kesedaran penjagaan yang dilaksanakan agensi berkaitan dalam negara.


“Walaupun fasiliti kesihatan semakin baik dan segelintir golongan warga emas tidak menghidap penyakit kronik tetapi fizikal mereka yang lemah, ingatan mereka yang semakin pudar serta keadaan sosial mereka yang serba kekurangan menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai risiko kesihatan dan keselamatan.


“Kemahiran asas penjagaan warga emas menjadi kunci utama untuk menjadi seorang penjaga yang berkualiti selain persediaan mental dan fizikal adalah satu keperluan yang wajib dititikberatkan oleh penjaga warga emas,” katanya. 


Tambahnya demi membalas pengorbanan, jasa dan bakti ibu bapa, tanggungjawab ahli keluarga terutama anak-anak adalah komitmen sepanjang hayat.

— EDITOR

Exit mobile version