Site icon Sabah Baru News

Situasi wanita berbeza: Jannie

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini yang bertemakan Embrace Equity adalah penting untuk kita fahami dan amalkan agar dapat mencapai perubahan dan meningkatkan status wanita, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kapayan, Jannie Lasimbang.


Menurutnya, ia memerlukan semua pihak bersikap adil, menerima perspektif dan pengalaman yang berbeza supaya boleh mencapai kejayaan bersama. 


“Kesaksamaan yang mana wanita diberi sumber atau peluang yang sama, tidak lagi mencukupi.  


“Kita perlu menghayati erti ekuiti kerana wanita mempunyai keadaan yang berbeza dan perlu diperuntukkan sumber dan peluang tepat yang diperlukan bagi mencapai hasil yang diingini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.


Beliau menambah, sambutan Hari Wanita penting kerana ia dapat memberitahu kepada semua orang di seluruh dunia bahawa sumbangan dari segi masa, perhatian, penjagaan, pengorbanan dan usaha wanita dalam semua bidang sama ada di dalam pekerjaan, keluarga, politik dan sebagainya – daripada hal kecil sehingga yang besar – perlu dihargai dan diraikan. 


“Selain itu, Undang-undang Perkahwinan Bawah Umur juga adalah salah satu usaha yang perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat di Sabah,” katanya yang berharap agar pindaan undang-undang itu dapat diluluskan tahun ini bagi membantu mengurangkan perkahwinan awal dalam kalangan komuniti. 


Menurut Jannie, pembangunaan yang baik perlu bermula dengan kesedaran yang kecil tetapi boleh memberi impak yang besar pada masa akan datang.


Pada tahun 2022, katanya, kita telah menyaksikan ribuan orang di seluruh dunia menghantar imej yang menunjukkan sokongan dan solidariti mereka bagi tema kempen Hari Wanita Antarabangsa #BreakTheBias yang membantu memacu perubahan positif. 


“Marilah kita jalinkan perpaduan dan sokongan yang luar biasa di seluruh dunia sekali lagi untuk tahun 2023 pada hari ini. Mari kita semua melangkah ke hadapan dan komited untuk #EmbraceEquity,” katanya.

— EDITOR

Exit mobile version