Site icon Sabah Baru News

PBRS perlu cipta kekuatan sendiri, tidak terlalu bergantung pada BN – Arthur

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) perlu mencipta kekuatan sendiri dalam usaha mengukuhkan parti, selain tidak terlalu bergantung pada Barisan Nasional (BN), kata Presidennya, Datuk Arthur Joseph Kurup.


Sambil menegaskan PBRS kekal setia bersama BN dan mempunyai semangat setiakawan utuh dengan rakan komponen lain, beliau berkata, partinya perlu berusaha keras untuk memastikan ia memiliki sokongan kukuh, terutama dalam kalangan rakyat akar umbi.


“Tiada siapa boleh ramal BN yang menang 30 kerusi Parlimen (pada Pilihan Raya Umum Ke-15 / PRU15) juga boleh duduk (menjadi) sebahagian kerajaan… politik pada masa ini sukar untuk kita ramal. Justeru dengan keadaan politik yang amat dinamik, kita memerlukan pendekatan lebih dinamik untuk maju ke hadapan menjadi parti lebih kukuh,” katanya.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-29 PBRS serta Malam Tautan Kasih Jasamu Dikenang yang turut dihadiri bekas Presidennya, Tan Sri Joseph Kurup.


PBRS adalah antara parti komponen BN bersama UMNO, MCA dan MIC.


Seterusnya, Arthur berkata, PBRS juga perlu mengekalkan faktor integriti dan kesetiaan yang diamalkan sejak sekian lama, kerana ia adalah perkara penting yang dinilai rakyat dalam memberikan sokongan.


“Apapun keadaan kita, kesetiaan itu tanda perjuangan dan integriti kita. Senang susah kita kena bersama, perlu konsisten dengan perjuangan kita. Apa saja kedudukan kita, rakyat (akan) pandang kita dengan penuh yakin,” katanya.


Beliau berkata, PRU15 menyaksikan 10.6 juta orang atau separuh daripada pengundi adalah golongan muda, justeru PBRS perlu mengorak langkah untuk menarik sokongan mereka.


Beliau berkata, PBRS juga perlu berjuang untuk politik pembangunan, selain tidak mengetepikan kebajikan dan kepentingan rakyat.

-– BERNAMA

Exit mobile version