Site icon Sabah Baru News

Lima pesakit terlantar terima sumbangan katil boleh laras

KENINGAU: Lima pesakit terlantar warga emas yang hilang keupayaan bergerak dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor menerima sumbangan katil boleh laras.


Mereka adalah Mickli Rius dari Kampung Tigot, Ubie Kunon (Kampung Baginda Ulu), Soniang Baluah (Kampung Tuntumulud), Mully Musa (Kampung Tangkungon) dan Mitus Kimbor dari Kampung Takad Apin Apin.


Bantuan berkenaan diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Datuk Robert Tawik bersama Pegawai daripada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Keningau, kakitangan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat ADUN Bingkor.


Bantuan katil boleh laras berkenaan adalah merupakan kolaborasi antara ADUN Bingkor, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am bersama PETRONAS, yang mana sasaran adalah kepada warga yang terlantar di rumah melalui permohonan yang telah dibuat sebelum ini.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan terus mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan sentiasa berusaha membantu dengan mencari jalan penyelesaian demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.


“Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga penerima terutama dalam urusan seharian dan memberikan keselesaan kepada pesakit yang terlantar dan lebih mudah diuruskan oleh anggota keluarga masing-masing,” katanya ketika di temui.


Pada kesempatan terluang itu, Robert turut beramah mesra dengan keluarga penerima sumbangan sambil bertanyakan khabar dengan mereka.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version