Site icon Sabah Baru News

Dua pendaki cedera di Gunung Kinabalu

Seorang daripada dua pendaki yang cedera bersedia untuk dibawa turun dari Gunung Kinabalu. – Ihsan Bomba

RANAU: Dua orang pendaki wanita cedera dalam dua kejadian berasingan di Gunung Kinabalu kelmarin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib, kejadian pertama berlaku di Substesen Panalaban, Gunung Kinabalu pada kira-kira jam 8.30 pagi.

“Kami menerima panggilan menerusi talian stesen mengenai kejadian itu dan mujurlah sepasukan tujuh anggota Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) berada kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Diketuai oleh Komander Operasi, PBB Mauries D Ubin bersama dua malim gunung dan seorang anggota Taman-Taman Sabah, mereka bergegas ke lokasi di mana seorang pendaki wanita berusia 34 tahun telah cedera buku lali kirinya dan mengalami bengkak.

“Rawatan awal diberikan oleh pasukan Mosar bersama Malim Gunung dan Taman-Taman Sabah dengan membalut kaki mangsa dengan pembalut,” katanya.

Ridwan berkata, mangsa mengadu sakit lutut dan tidak dapat berjalan sendiri, jadi Mosar terpaksa membawanya turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson.

“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan Taman-Taman Sabah untuk rawatan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 12.28 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, katanya, insiden kedua berlaku di Kilometer 3.7, Gunung Kinabalu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Kami menerima panggilan menerusi talian stesen pada 12.38 tengah hari dan lima anggota Mosar diketuai Komander Operasi, PBB Suparin Kumin bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 300 meter dari pos mereka.

“Apabila tiba di tempat kejadian, didapati seorang pendaki wanita berusia 31 tahun mengalami kecederaan di kaki kanannya. Rawatan awal diberikan pasukan Mosar bersama Malim Gunung dan Taman-Taman Sabah dengan membalut kaki mangsa dengan balutan.

“Selepas itu, pasukan Mosar membawa mangsa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson. Mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan pada jam 5.08 petang.

wartaoriental

Exit mobile version