PUTRAJAYA– Teka-teki berhubung spekulasi satu pengumuman penting bakal dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini terus hangat diperkatakan apabila rata-rata pengamal media mula berkampung di pejabat beliau ketika ini.
Difahamkan, kehadiran pengamal media yang menunggu di perkarangan Pejabat Perdana Menteri sejak pukul 8 pagi tadi bertujuan untuk mendapatkan jawapan daripada Ismail Sabri berkenaan spekulasi tersebut.
Ketika ini, tiada sebarang perjalanan keluar masuk dilaporkan dibuat menteri Kabinat ke pejabat berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa kenderaan dilihat memasuki bangunan tersebut dan ia dipercayai merupakan mereka yang bekerja di Pejabat Perdana Menteri.
Sebelum ini, KOSMO! Online melaporkan Ismail Sabri dijangka mengumumkan sesuatu hari ini sekali gus menguatkan lagi spekulasi berhubung pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU-15.
Sumber dalaman UMNO ketika dihubungi Kosmo! semalam berkata, pengumuman tersebut bakal dibuat pagi ini.
“Tidak boleh nak kata lagi, mungkin bubar (Parlimen) atau tidak, kalau ada mungkin pagi esok,” katanya.
Desas desus pembubaran Parlimen kembali kencang apabila ada dakwaan mengatakan Perdana Menteri mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah petang semalam.
Sebelum ini, Ismail Sabri juga telah bertemu Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum perbentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Al Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke London bagi mengadakan lawatan khas hingga 16 Oktober nanti.