Site icon Sabah Baru News

Christina puji usaha Majlis Wanita KDCA

KOTA  KINABALU: Majlis Wanita KDCA menerima pujian apabila berjaya menerbitkan sebuah buku bertajuk Evolusi Pakaian Tradisi Etnik Sabah (jilid pertama).


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, buku dwibahasa yang mempunyai 175 muka surat itu serta berwarna-warni adalah sangat unik, berinformasi dan mendapat penyelidikan yang terperinci.


“Tahniah kepada Majlis Wanita KDCA yang berjaya menerbitkan buku ini, ianya sangat berbaloi untuk dipersembahkan kepada pelancong antarabangsa atau sebagai hadiah cendera kenangan dalam pertukaran kebudayaan,” katanya selepas menerima buku berkenaan daripada Pengerusi Majlis Wanita KDCA Joanna Kitingan di sini, baru-baru ini.


Bahan terbitan buku berkenaan dikumpul dan diedit oleh Joanna dan Salbiah Kindoyop, terdiri daripada lima bab dan diterbitkan tahun lalu.


Joanna berkata, ia mengambil masa selama setahun untuk disiapkan. Buku itu sangat berguna dijadikan sebagai bahan rujukan bagi murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan juga universiti.


“Ia bukan sahaja mengenai pakaian tradisional etnik tetapi juga mengandungi maklumat mengenai komuniti etnik di lima daerah dalam negeri ini,” katanya sambil menambah beliau melakukan penyelidikan buku itu di Muzium Sabah.


Menurutnya, Majlis Wanita KDCA juga sedang menghasilkan jilid kedua buku berkenaan yang dijangka siap tahun ini.


Katanya, jilid kedua pula akan memaparkan pakaian tradisional etnik dan kumpulan etnik dari lima daerah lagi di Sabah.


Sementara itu, Pengerusi Penganjur Leo Liew turut memberikan taklimat kepada Christina mengenai penganjuran Festival Makanan Antarabangsa 2023 yang akan diadakan pada 26 Mei sehingga 28 Mei 2023, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).


“Acara yang diadakan sebelum Pesta Kaamatan adalah bertujuan mewujudkan satu platform kepada pengusaha industri makanan dan minuman untuk mempamerkan menu mereka.


“Sekurang-kurangnya sebanyak 150 gerai akan dibuka untuk mempamerkan menu masakan masing-masing. Pakar makanan juga telah dijemput dari Taiwan, China, Thailand, Filipina dan Korea untuk menyertai festival ini,” katanya.

— Yap Siong Han

Exit mobile version