Site icon Sabah Baru News

USIA Beaufort rancang usahakan tanah terbiar milik USIA

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Beaufort merancang untuk mengusahakan tanah terbiar milik mereka di daerah itu selari dengan Pelan Strategik Pembugaran USIA.


Bagi menyahut seruan Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad yang menyarankan USIA Bahagian di seluruh Sabah supaya tampil dengan kreativiti masing-masing untuk memanfaat aset sedia ada bagi menjana pendapatan, USIA Bahagian Beaufort sedia menggerakkan usaha yang dapat memberi manfaat serta kebaikan bersama.


Ketua USIA Bahagian Beaufort, Datuk Ruslan Muharam memberitahu, langkah pertama yang akan dilakukan pihaknya adalah dengan mengenal pasti lokasi tanah termasuk jumlah keluasan kerana pada ketika ini beliau belum mempunyai perincian yang lengkap.


“Dikhabarkan USIA Bahagian Beaufort ada sekitar 80 ekar tanah terbiar, dan untuk kepastian kita akan bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Daerah Beaufort bagi mengenal pasti perkara berkenaan.


“Sesudah kita ada data terbaru yang dikemaskini barulah kita boleh fikir apa kesesuaian yang boleh diusahakan di tanah tersebut misalnya dengan aktiviti pertanian atau ternakan dan lain-lain aktiviti yang mampu menjana hasil, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Iftar USIA yang diadakan di salah sebuah hotel, dekat sini kelmarin.


Dalam pada itu, Ruslan turut memberitahu terdapat sebuah kedai dua tingkat milik USIA di Pekan Beaufort berdepan Stesen Keretapi Beaufort terbiar sekian lama, dan ianya juga perlu diusahakan dan diurus dengan baik agar dapat beroperasi untuk tujuan perniagaan komersial.


“Kedai tersebut mempunyai potensi yang besar kerana lokasinya yang strategik namun disebabkan oleh masalah terpencil dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kemudahan asas seperti bekalan air dan letrik, maka ianya tidak dapat disewakan.


“Insyaallah isu teknikal seperti ini akan kita selesaikan seperti mana yang disarankan oleh Yang Dipertua USIA supaya memanfaat aset-aset sedia ada agar USIA Bahagian masing-masing dapat meraih pendapatan yang stabil.


“Dengan adanya sumber pendapatan yang baik, maka USIA Bahagian dapat melaksanakan aktiviti serta program yang bermanfaat sekaligus menyumbang kepada ekonomi setempat serta USIA itu sendiri, ” katanya.


Pada majlis iftar itu, Sapawi menyerahkan sumbangan cek kepada setiap USIA Bahagian berjumlah RM2,000 untuk setiap bahagian bagi tujuan aktiviti dakwah dan pengurusan bagi tahun 2023.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version