Site icon Sabah Baru News

Sabah giat penguatkuasaan tangani masalah bekalan air tidak terhasil 

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus menjalankan pemantauan bagi memperkasakan usaha menangani isu bekalan air tidak terhasil (NRW) yang berpunca dari kes kecurian air di negeri ini.


Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes kecurian air sentiasa giat dilaksanakan.


Bagaimanapun katanya, cabaran kekurangan tenaga kerja dan juga keberkesanan operasi antara kekangan yang dihadapi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).


Menurutnya, bagi memulihkan bekalan air di negeri ini, satu mekanisme ataupun gerakan bersepadu perlu dibuat bagi menangani masalah terbabit.


“JANS juga sedang giat melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk mengurangkan masalah NRW daripada 60 peratus kepada peratusan yang lebih rendah.


“Sekiranya ini dapat kita jayakan menjelang hujung tahun ini, bekalan air yang sepatutnya akan dapat dinikmati oleh pengguna yang ada di luar,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media pada majlis Iftar Ramadan Bersama Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Rakan-Rakan Media dan OCN24 di sini semalam.


Shahelmey berkata, dengan adanya program bagi mengurangkan masalah NRW, kerajaan akan dapat mengesan kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air.


Sehubungan itu jelasnya, melalui sistem berkenaan, pegawai-pegawai JANS akan dapat melakukan tindakan yang sewajarnya bagi memulihkan tekanan air.


“Bagi kes kecurian air pula, ini satu perkara yang sedikit berbeza dan apa yang kita perlukan adalah penguatkuasaan serta mungkin satu mekanisme sama ada kita lakukan pam meter yang sedang difikirkan oleh satu jawatankuasa,” katanya.


Dalam pada itu beliau turut memberi peringatan kepada pihak JANS supaya memastikan catuan bekalan air dapat dijalankan dengan baik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.


Menurutnya, penduduk yang berada di kawasan yang mengalami tekanan air rendah boleh memaklumkan JANS melalui talian ‘careline’ untuk tindakan sewajarnya termasuk penghantaran lori air.


Ditanya mengenai banyak aduan berhubung maklum balas talian careline JANS yang kurang proaktif, Shahelmey berkata, perkara itu sudah disampaikan kepada pihak berkenaan dan diharap perkhidmatan yang disediakan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.


“Perlu diketahui bahawa JANS sedang menghadapi kekangan jumlah tenaga kerja dan kerajaan bersetuju untuk menambah atau pun mengambil pekerja-pekerja baharu tetapi ini akan mengambil satu jangka masa yang agak sewajarnya,” katanya.

— Siti Aisyah Narudin

Exit mobile version