Site icon Sabah Baru News

Pihak berkuasa perlu bekerjasama banteras golongan gelandangan – Sim Fui

KOTA KINABALU: Semua pihak berkuasa di sini perlu bersama-sama bekerjasama membanteras peningkatan kumpulan gelandangan yang dilihat sering mengganggu ketenteraman orang awam.


Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sim Fui berkata, kejadian seumpamanya sudah lama berlaku di bandaraya ini tetapi pihak berkuasa gagal untuk mengatasi masalah itu.


“Tidak kiralah ianya terletak dibawah kuasa siapa, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pihak imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM)…perlulah bersama-sama melaksanakan operasi bersepadu untuk mengatasi perkara ini.


“Kini dapat dilihat ramai dalam kalangan gelandangan yang mengalami masalah kesihatan mental, kanak-kanak tanpa negara berkeliaran di bandaraya ini.


“Berdasarkan aduan daripada seorang pengguna facebook, didapati gelandangan berkenaan cuba untuk memasuki kedainya dengan mencungkil pintu yang ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, imej Sabah khususnya bandaraya ini sudah pasti terjejas sekiranya para pelancong yang melawat diganggu oleh golongan gelandangan.


Katanya, gangguan itu sudah pasti akan menyebabkan mereka tidak lagi mahu datang ke Sabah, selain akan mendorong rakan mereka di negara asal agar tidak melawat negeri ini.


“Sudah tiba masanya pihak-pihak berkuasa di sini bergabung tenaga bersama-sama selesaikan masalah ini.


“Jangan lagi saling menuding jadi diantara satu sama lain berkenaan perkara itu dibawah kuasa siapa dan sebagainya,” katanya.


Sim Fui mencadangkan agar satu talian hotline diwujudkan hanya khusus untuk menerima aduan mengenai gelandangan ini.
Katanya, beliau sering menerima aduan daripada orang ramai mengenai perkara ini, walaupun perkara sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan, tetapi tindakan lanjut untuk menyelesaikan perkara ini dilihat gagal.

— Yap Siong Han

Exit mobile version