Site icon Sabah Baru News

GRS semakin utuh, komited terus tumpu usaha majukan Sabah

KOTA KINABALU: Penyertaan dua parti politik tempatan Sabah iaitu Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) ke Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diyakini dapat mengukuhkan lagi kerajaan negeri.


Ketua Pemuda GRS Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, dengan kemasukan dua parti politik tempatan Sabah itu, ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap perjuangan GRS, yang menumpukan terhadap usaha memajukan Sabah.


Tambah beliau, dengan adanya sokongan daripada parti-parti komponen dalam GRS yang kini dianggotai tujuh parti komponen, ianya dapat memberi ruang kepada Presiden GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor fokus terhadap usaha menjayakan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).


Penyertaan dua parti politik itu juga sekaligus menyangkal sebarang dakwaan sesetengah pihak terhadap GRS kerana realiti yang berlaku adalah sebaliknya dan bukan seperti yang didakwa.


“Ini jelas menunjukkan dan membuktikan gabungan ini (GRS) semakin mendapat sokongan padu daripada rakyat serta parti-parti tempatan, yang menginginkan bukan sahaja sebuah kerajaan yang stabil tetapi juga dipimpin oleh parti tempatan sendiri, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil media bagi mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Rabu mengenai kelulusan permohonan dua parti iaitu Harapan Rakyat dan LDP untuk menyertai GRS.


Dengan kemasukan parti Harapan Rakyat dan parti LDP ke GRS, kini gabungan itu dianggotai tujuh parti komponen.
 
Lima parti komponen sedia ada dalam GRS sebelum ini ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Maju Sabah (SAPP).


Baru-baru ini, Presiden Harapan Rakyat Tan Sri Liew Yun Fah dalam kenyataan menzahirkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hajiji kerana menerima Harapan Rakyat menjadi sebahagian keluarga GRS.


Beliau berkata, sejak awal lagi Harapan Rakyat mengambil pendekatan mesra dan menyokong kerajaan negeri atas dasar bersama ke arah memajukan Sabah.


“Dalam hal ini, hala tuju Harapan Rakyat cukup jelas selari dengan GRS, kerana kami mahu kekal fokus dengan pembangunan negeri bersifat kendiri dan tidak ‘terikat’ dengan campur tangan politik luar.


“Kami yakin dengan adanya gabungan bersama enam parti lain dalam GRS, aspirasi parti tempatan dapat direalisasikan seterusnya bersatu ke arah Sabah Maju Jaya,” katanya dalam satu kenyataan.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version