Site icon Sabah Baru News

1,000 pelajar terima sumbangan beg sekolah DUN Kukusan

TAWAU: Seramai 1,000 pelajar daripada sembilan buah sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan menerima sumbangan beg sekolah bagi menghadapi musim persekolahan tahun ini.


Kesemua mereka menerima sumbangan itu menerusi siri jelajah agihan 1,000 beg sekolah yang dianjurkan Pejabat DUN Kukusan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata, program berkenaan adalah inisiatif pihaknya bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah khususnya golongan memerlukan.


Katanya, agihan tersebut dilakukan secara bersasar dan sumbangan itu diberikan kepada pelajar daripada golongan B40, asnaf, anak yatim dan murid berkeperluan khas.


“Program ini adalah salah satu inisiatif kami untuk membantu masyarakat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik di mukim Kukusan.


“Agihan beg sekolah ini merupakan kali kedua dilaksanakan selepas tahun 2018, namun terhenti susulan penularan pandemik COVID-19 di seluruh negara,” katanya.


Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada 245 pelajar, di sini hari ini.

Menurutnya, agihan hari ini melibatkan pelajar di tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih.


“Selain sekolah rendah, kami juga akan mengagihkan beg sekolah kepada pelajar sekolah menengah di sekitar DUN Kukusan,” katanya.


Rina berkata, bantuan yang diberikan itu adalah tanda keprihatinan kerajaan dan wakil rakyat terhadap penduduk di negeri ini.


“Kerajaan sentiasa menjaga kebajikan dan pendidikan pelajar-pelajar sekolah terutamanya daripada golongan yang kurang berkemampuan.


“Saya juga berharap semua ibu bapa dapat memberikan kerjasama kepada pihak sekolah supaya proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilakukan dengan mudah,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version