SEPANG: Kejayaan skuad Bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan yang menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) 2023 membuktikan negara tidak ketandusan bakat baharu dalam bola sepak.
Ketua jurulatihnya, Osmera Omaro, berkata sokongan padu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), ibu bapa, peminat dan sekolah membuktikan ekosistem bola sepak negara berada dalam keadaan baik ketika ini.
“Perkara ini telah jelas (tidak ketandusan bakat) namun saya harap pemain muda perlu diasuh dengan betul bagi memastikan laluan karier mereka tidak tersasar,” katanya kepada pemberita selepas tiba bersama skuad negara dari Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Isnin.
Osmera pada masa sama berkata kejayaan anak buahnya, yang rata-ratanya wakil dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu hasil daripada proses jangka masa panjang dilalui bakat muda di bawah program tersebut.
Terdahulu, skuad kebangsaan disambut meriah oleh ahli keluarga selepas pesawat dinaiki mereka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia, tiba di KLIA pada jam 7.25 malam.
Pada aksi kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Indonesia, Malaysia memulakan kempen Kumpulan B dengan menumpaskan Palestin 4-0 diikuti seri 1-1 menentang Guam sebelum mengejutkan pasukan pilihan Emiriah Arab Bersatu 3-2 dan melengkapkan saingan dengan ‘meratah’ tuan rumah, 5-1.
Malaysia layak ke Piala Asia B-17 2023 selepas mengungguli Kumpulan B dengan 10 mata.
Hanya 10 juara kumpulan dan enam pasukan naib juara kumpulan terbaik layak ke pusingan akhir.
Ini adalah kali keenam skuad muda kebangsaan layak ke pentas Piala Asia B-17 selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2018 selaku tuan rumah.
Pencapaian terbaik skuad muda di saingan berprestij itu adalah pada edisi 2014 apabila layak ke suku akhir namun gagal ke saingan seterusnya selepas tewas nipis 1-2 di tangan Australia.
— BERNAMA