Site icon Sabah Baru News

STAR terus sokong kepimpinan Hajiji

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Robert Tawik menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.


Menurut Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Hajiji telah membuktikan kepimpinannya dalam mengurus tadbir kerajaan Sabah sejak menjadi Ketua Menteri.


Tambahnya, program-program pembangunan melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) membuktikan Hajiji berwawasan dalam membangunkan negeri dan rakyat Sabah.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Ali yang menyatakan sokongan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin tidak lagi relevan kerana Hajiji tetap kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.


Armizan yang juga merupakan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata tanpa sokongan Bung yang juga Ketua UMNO Sabah, Hajiji tetap mempunyai sokongan majoriti ADUN Sabah.


Menurut Robert STAR sebagai anggota dalam GRS akan terus memberikan sokongan penuh dan berdiri teguh di belakang Hajiji serta GRS.
Tambah Robert, beliau juga mengajak seluruh ahli dan pemimpin parti GRS supaya terus bersatu padu dan menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri.


“Sekarang masa untuk bekerja dan menyantuni serta memberikan khidmat  terbaik kepada rakyat yang memerlukan perubahan dalam pelbagai aspek khususnya sara hidup yang begitu membebankan rakyat, meningkatkan ekonomi yang terjejas dengan pandemik COVID-19, prasarana dan lain- lain.


“Sabah perlu dibangunkan kerana Sabah amat ketinggalan jauh berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, justeru marilah kita fokus terhadap kerja dan bukan berpolitik.


“Ayuh kita sama-sama dengan Ketua Menteri untuk bekerja, kerana kita masih ada dua tahun lebih lagi untuk merealisasikan Hala Tuju SMJ, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version