Site icon Sabah Baru News

Wanita GRS siap sedia hadapi PRU-15

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berikutan pembubaran Parlimen, kata Ketuanya Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.

Jelas Azizah, Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dijangka akan melancarkan Wanita GRS dan Jentera Pilihan Raya pada 23 Oktober ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Sabah (SICC).


Selepas pelancaran, Wanita GRS akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan ketua-ketua penyelaras dari  25 kawasan Parlimen.


“Sebelum ini, gerak kerja Wanita GRS sudah pun bersedia. Jentera kami turun sebagai satu nama GRS. GRS Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).


“Kita turun dengan membawa nama Wanita GRS, ” kata Azizah ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Kota Kinabalu, kelmarin.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Wanita GRS, Datuk Amisah Yassin; Setiausaha Wanita GRS, Datuk Redonah Bahanda; Ketua Wanita STAR, Datuk Flovia Ng; Ketua Wanita PBS, Datin Malianah Ugau; Ketua Wanita SAPP,  Noraiza Noor; Setiausaha Kerja Srikandi BERSATU Sabah, Aziah Atoh; Timbalan Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Fahzean Mohiddin dan Timbalan Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Sabah, Halizah Din.


Dalam pada itu, Azizah yang juga Ketua Srikandi BERSATU Sabah berkata, Wanita GRS sudah lama turun padang bagi mendekati rakyat, mendalami permasalahan mereka serta menghulurkan bantuan tanpa mengira pegangan politik.


“GRS pun baru dua tahun penubuhannya. Janji kita bantu rakyat. Dari segi jentera, kita sudah bergerak bersama dan insya-Allah kita bersedia menghadapi pilihan raya umum ini dengan kerjasama semua parti komponen dalam gabungan GRS, “katanya.


Menurut Azizah lagi, ketua-ketua Wanita GRS telah mengemukakan senarai nama-nama calon kepada pucuk pimpinan dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan berapa ramai dan siapa yang akan menjadi calon serta di mana mereka akan bertanding.


Tambah beliau lagi susulan daripada pembubaran Parlimen pada 10 Oktober semalam, jentera pilihan raya GRS di peringkat negeri dan Parlimen sudah sedia untuk diaktifkan dan semua parti komponen juga sudah membuat persiapan masing-masing atas semangat GRS.

Jelas Azizah, kerajaan negeri pimpinan GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) ketika ini masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempoh DUN.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin telah mengumumkan pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15.


Dalam perutusan itu, Ismail Sabri memberitahu semua negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disyorkan untuk membubarkan DUN masing-masing supaya pilihan raya negeri boleh diadakan serentak dengan PRU-15.

Kenneddy Corlleus

Exit mobile version