Site icon Sabah Baru News

Kerjasama kunci kejayaan yang lebih besar

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) setuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Ali yang meminta semua pihak supaya fokus untuk melipatgandakan usaha untuk membangunkan Sabah.


Ini kerana katanya, ia bagi memastikan kerajaan Negeri serta Persekutuan dapat melaksanakan usaha-usaha yang bermanfaat untuk membangunkan Sabah selari dengan hala tuju yang dirangka kearah kesejahteraan rakyat.


Dalam konteks Sabah, para pemimpin di negeri ini wajar bekerjasama dalam setiap langkah demi jaminan masa depan yang lebih baik sekaligus memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat di Sabah.


Tambah beliau, semua pihak juga perlu menetapkan fikiran yang positif bukan sahaja demi kestabilan kerajaan tetapi juga aspek lain sekaligus memberi impak yang besar kepada kesejahteraan rakyat di negeri ini.


“Kerajaan Sabah yang ada pada hari ini meletakkan fokus terhadap perancangan menerusi pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan matlamat utama untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat. Oleh itu marilah kita bersama-sama memperkasakan fokus dalam membangunkan Sabah.


“Kita wajar berfikiran positif dalam semua perkara dan pada masa sama menyokong agenda baik kerajaan demi memenuhi aspirasi rakyat. Tentunya tidak semudah itu untuk memperoleh kejayaan, namun ‘titik kebersamaan’ itulah yang akan membawa Sabah ke hadapan, ” katanya.


Dalam pada itu, Shahril berkata, sebarang perubahan yang berlaku sudah tentu tidak akan menampakkan hasil yang serta merta namun dengan adanya sokongan semua pihak dalam memperjuangkan Sabah, ia tentunya akan membuahkan hasil.


Jelas beliau, kejayaan kerajaan Sabah hari ini harus dibanggakan dan bukan sebaliknya kerana tanpa barisan kepimpinan yang ada tentunya tidak ada sebarang peningkatan yang memberangsangkan.


“Kejayaan demi kejayaan berjaya dilakar dan tidak dinafikan banyak juga kemudahan telah diwujudkan, dan semua itu wajar kita banggakan. Saya juga yakin akan ada lagi perancangan pembangunan yang terbaik sedang dilaksana demi manfaat rakyat.


“Pastinya sokongan demi sokongan juga secara tidak langsung dapat menterjemahkan kejayaan yang lebih besar di masa akan datang, ” katanya .

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version