Site icon Sabah Baru News

Nelayan Indonesia diselamatkan selepas enam hari tanpa makanan

Kesemua nelayan tersebut telah dipindahkan menaiki helikopter pada Isnin dari Pulau Bedwell. – Foto Lembaga Keselamatan Maritim Australia

SEJUMLAH 11 nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan selepas terpaksa mengharungi enam hari tanpa makanan atau air selepas terkandas di sebuah pulau kecil di Australia.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia berkata, kesemua nelayan tersebut telah dipindahkan menaiki helikopter pada Isnin dari Pulau Bedwell, kira-kira 330 kilometer barat dari bandar Broome.

Namun sembilan lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas. 

Mangsa memberitahu dua bot yang dinaiki mereka telah dilanda Siklon Tropika Ilsa minggu lepas dan salah satu daripada bot itu telah karam.

Seramai sembilan daripada 10 awak-awak atas bot berkenaan dilaporkan hilang.

Seorang yang terselamat berjaya berpaut pada sebuah tong kosong sebelum diselamatkan seorang nelayan dari bot satu lagi, memetik laporan Australian Broadcasting Corporation (ABC).

Kesemua mangsa terselamat kini menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Siklon Ilsa melanda bahagian barat Australia minggu lepas namun tidak menyebabkan kemusnahan teruk di negara itu.

AWANI

Exit mobile version