Site icon Sabah Baru News

Abdul Karim selar Ketua Pemuda DAP persoalkan perancangan boutique airline Sarawak

KUCHING: Dato Sri Abdul Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan rasa terkilan berhubung tindakan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii yang dilihat mempersoalkan usaha Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri berkata, Kelvin perlu faham tujuan Kerajaan Sarawak mahu menubuhkan boutique airline ialah kerana ingin membantu rakyatnya menikmati harga tiket penerbangan yang murah terutamanya pada musim perayaan.

Ujar Abdul Karim, beliau terkejut dengan kenyataan bersifat dungu oleh Kelvin memandangkan majoriti syarikat pengangkutan awam di seluruh dunia termasuk di negara maju dibantu oleh kerajaan.

“Kita boleh menentukan harga tiket penerbangan sekiranya menguruskan sendiri syarikat penerbangan.

“Sekarang apabila tiba musim perayaan,harga tiket mahal. (Sebagai contoh) dari Miri ke Lawas RM 700 sehala manakala Miri ke Kuching boleh mencecah sehingga RM 1,000, “ katanya pada sidang media Spartan Race 2023 di sini, semalam.

Abdul Karim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kelvin sebelum ini yang mempersoalkan rancangan penubuhan syarikat penerbangan sendiri oleh Kerajaan Sarawak yang telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pemuda DAP itu turut memberi ‘amaran’ sekiranya kerana negeri terpaksa melaksanakan langkah menyelamat (bail out), ia akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Sarawak.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, Kelvin harus memahami bahawa penubuhan syarikat penerbangan itu bukan bertujuan untuk menjana keuntungan semata-mata.

“Tidak ada syarikat pengangkutan awam di dunia yang benar-benar meraih keuntungan, anda boleh semak.

“Syarikat kereta api di Jepun atau di Eropah, semuanya menikmati subsidi oleh kerajaan.

“Ini tidak, secara tiba-tiba si dungu ini cuba persoalkan, apakah dia cuba mengatakan kerajaan negeri main-main.

“Bukan mudah untuk menguruskan syarikat penerbangan tetapi kita (Kerajaan Sarawak) perlu melakukannya kerana kita tinggal di kepulauan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kelebihan Sarawak sekiranya memiliki syarikat penerbangan sendiri, Abdul Karim berkata, ia akan memberi manfaat membabitkan penawaran tiket penerbangan dengan harga yang lebih berpatutan.

“Apabila syarikat penerbangan itu disokong oleh kerajaan, kita boleh menentukan harga walaupun wujud permintaan yang tinggi.

“Jika syarikat lain menawarkan harga RM 1,000 (namun) kita boleh tawarkan RM500,” katanya.

Hafeezzur Muzamir

Exit mobile version