Site icon Sabah Baru News

Ada sesuatu baharu dalam sambutan Kaamatan tahun ini: Jeffrey

TAMBUNAN: Ada beberapa perkara baharu akan dibawa dalam Perayaan Pesta Kaamatan tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.


Katanya sambutan kali ini akan diadakan dengan kolaborasi dengan UN Biodiversity Centre dan Food and Agriculture Organization of the United Nations (UNFAO).


“Perayaan tahun ini dibuka kepada Sabahan Diaspora (rakyat Sabah di luar negara) di seluruh dunia.


“Beberapa program akan diadakan di luar KDCA mengikut keperluan dan antaranya ialah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Mukim Patau Daerah Tambunan 2023 baru-baru ini.


Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, tahun ini adalah kedua kali menggunakan pembaharuan melibatkan pengumpulan bibit-bibit pertanian termasuk buah-buahan yang semakin pupus.


“Ia dikenali sebagai  Seed Spirit Revival dan akan bekerjasama dengan UN. Kita akan adakan acara ini pada 22 Mei kerana kebetulan pada hari itu adalah World Biodiversity Day.


“Kita juga berharap dapat mengadakan pertandingan untuk menggalakkan pengeluaran hasil. Siapakah petani tahunan yang merupakan pengeluar terbaik dan sebagainya.


“Dengan adanya persaingan ini, mereka akan mendapat dorongan untuk menjadi peladang yang terbaik,” kata Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau.

— Kenneddy Corlleus

Exit mobile version