Site icon Sabah Baru News

Penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak bukan keuntungan semata-mata – Abdul Karim

KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan miliknya sendiri bukan menjurus kepada keuntungan semata-mata.

Menteri Pelancongan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, isu harga tiket penerbangan ke Sarawak sering kali disuarakan setiap kali menjelang musim perayaan.

Jelas beliau, pengoperasian penerbangan syarikat itu nanti berkemungkinan akan dimulakan menggunakan dua ke empat kapal terbang sahaja.

“Kita akan mula dengan kecil dahulu, tidak dapat terus nak pergi sampai ke London dan sebagainya. Sebab itu Abang Johari mencari dua ke empat pesawat dulu. Apabila kita semakin besar dan lebih besar kita akan melakukan apa sahaja perlu bermula dari yang kecil, jangan terlalu bercita-cita tinggi tetapi hakikatnya semua ini adalah untuk kebaikan rakyat Sarawak.

“Rakyat Sarawak sering berdepan isu harga tiket mahal seperti pada setiap perayaan hari raya, semasa musim COVID-19 yang lalu Sarawak Volunteers terpaksa berbelanja untuk membawa rakyat Sarawak pulang kerana tiket terlalu mahal, kita kena subsidi jadi kenapa tidak kita mempunyai syarikat penerbangan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Rumah Kediamannya di Jalan Astana, hari ini.

Malah usaha itu katanya, bagi mengawal dan mengatasi harga tiket penerbangan ke Sarawak secara lebih teratur serta memudahkan penduduk Sarawak di luar negeri dan pengunjung ke negeri ini.

“Selepas ini banyak kerja yang perlu dilakukan untuk ditubuhkan supaya syarikat penerbangan ini dapat diangkat dan beroperasi dengan teratur kerana ini adalah industri yang cukup mencabar tapi kita perlu untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri selepas melihat keadaan yang berlaku, kalau kita lepaskan sahaja kepada apa yang dapat kita lihatkan pada kali ini, beginilah keadaannya harga tiket semuanya bergantung kepada kuasa permintaan dan bekalan.

“Secara peribadi saya rasa kita perlu melihat semula. Saya tahu apa yang diusahakan Premier Sarawak adalah jujur untuk melihat kesejahteraan rakyat. Kami tidak mencari untuk menjana wang daripadanya. Bukan senang untuk mendapat keuntungan tetapi kita boleh pulang modal namun hakikatnya tetap industri seperti ini semua memberi kemudahan dan kesenangan kepada rakyat,” ujarnya.

— TVS

Exit mobile version