Site icon Sabah Baru News

Hattan tak tahu itu program ‘live’?

Kuala Lumpur: Cerita sebenar di sebalik video tular Datuk Hattan dan pembaca berita Astro Awani, Nursyazwani Saiful Sham terbongkar apabila penyanyi terbabit memaklumkan tidak mengetahui ia adalah temubual secara langsung. 

Perkara ini dijelaskan seorang teman rapat Hattan, Salimey Abu Bakar menerusi TikTok.

Menurutnya, dia menonton siaran berita Astro Awani kelmarin pada jam 10.40 pagi dan berasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku. 

“Saya terus hubungi Datuk Hattan dan bertanyakan situasi sebenar. Soalan pertama yang saya ajukan, Datuk tahu ke yang panggilan tadi ‘live’?    

“Jawapan yang diberikannya, apa live? Aku tak tahu, katanya. Saya tanya lagi, biar betul Datuk tak tahu? Tak tahu, aku tengah baring mereka ‘call’ tanya soalan, aku jawab la mcm biasa.

“Kalau kita pun dalam situasi begini mungkin kita pun jawab macam sembang biasa kawan-kawan. Saya pun jawab dengan Datuk Hattan…ohh ya ke,” cerita Salimey. 

Menurutnya, dalam pemikirannya tidak mungkin Hattan tidak tahu protokol apabila ditemubual secara langsung di televisyen atau radio. 

“Jadi, tidak adil satu kesalahan terus dilemparkan kepada artis seperti Datuk  Hattan saja kerana beliau tidak minta ditemubual dalam siaran berita terbabit. 

“Sebaliknya penerbit berita Astro Awani harus bersedia dengan soalan-soalan dan jawapan untuk diberi pada panel dan pembaca berita pada masa terbabit. 

Terdahulu, isu ini bermula apabila Hattan menempelak pembaca berita terbabit yang dikatakan tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan berkaitan Mael XPDC.

Hattan dihubungi untuk temubual secara langsung untuk mendapatkan pandangan mengenai lirik lagu kumpulan XPDC yang dikatakan ‘makan dalam’.

Disebabkan pembaca berita ini kurang arif beberapa perkara berkaitan XPDC, Hattan terus menyelar penyampai terbabit. 

Malah dia bertanya semula kepada penyampai dengan nada yang tegas agar memberi jawapan yang betul serta mempersoalkan samada membuat kajian ataupun tidak.

Lebih daripada itu, belum sempat penyampai ini mengucapkan terima kasih kepadanya, Hattan  memutuskan talian terbabit. 

 Rakaman video ini yang tular, membuatkan Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin  dianggap sebagai kurang ajar oleh netizen.

Sementara itu Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Farah Marshita Abdul Patah meminta tindakan memalukan petugas media sama ada oleh orang luar, artis, ahli politik mahupun menteri harus dihentikan dengan segera.

Dalam hal membabitkan Astro Awani, NUJ menggesa supaya Hattan bertindak lebih profesional, sekiranya beliau tidak mahu menjawab soalan yang diajukan, beliau boleh dengan sopan menolak pertanyaan itu.

“Tindakan seperti itu akan memulakan rantaian ‘chain of events’, di mana selepas ini orang lain juga boleh bertindak kurang ajar dengan petugas media.

“Belajarlah saling menghormati dan tunjukkan teladan yang baik terutamanya kepada generasi muda pendirian NUJ adalah untuk saling menghormati,” katanya kepada sebuah portal berita.

Dalam pada itu, Hattan ketika dihubungi Harian Metro berhubung isu itu enggan mengulas. 

K!ONLINE

Exit mobile version