Site icon Sabah Baru News

Tindakan BERSATU tak mengejutkan – Armizan

KOTA KINABALU: Tindakan BERSATU memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang sudah dikosongkan, dilihat usaha menggagalkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Ali yang menyifatkan tindakan bekas partinya itu sebagai tidak mengejutkan, berkata beliau maklum mengenai perkembangan terbabit, namun belum menerima sebarang notis daripada mahkamah atau BERSATU.


Jumaat lalu, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan pegawai awam parti, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya telah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkaitan isu berkenaan.

Mereka menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen terbabit, iaitu Armizan (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.


Empat Ahli Parlimen itu bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.


4 Ahli Parlimen Sabah yang bertanding atas tiket GRS

BERSATU memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari 2023 yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberi penjelasan dan mengesahkan tidak berlaku kekosongan di empat kerusi itu.


Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan BERSATU.


“Saya tidak terkejut kerana ia tindakan pihak yang tidak ingin melihat gerakan parti tempatan di Sabah. Ia juga usaha untuk menggagalkan Gagasan Rakyat yang bergerak dalam satu landasan mengikut citra tempatan.


“Setelah saya menerima notis atau surat daripada pihak berkenaan, kita akan jumpa pasukan peguam untuk khidmat nasihat,” kata Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah 2023 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.


Armizan turut ditanya adakah BERSATU mempunyai ‘locus standi’ untuk mencabar keputusan empat Ahli Parlimen berkenaan meninggal parti terbabit.


“Tanyakan kepada pihak yang membawa tuntutan ini ke mahkamah. Tanyakan kepada beliau (Ronald) mengapa beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).


“Kami (empat Ahli Parlimen terlibat) bertanding bawah tiket GRS. Adakah sama atau berbeza? Saya rasa tiada kekosongan kerusi dan kita perlu menghormati sistem kehakiman negara.


“Kita perlu patuhi dan hormati walaupun keputusan telah dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini berkenaan perkara ini,” katanya.


GRS pada asalnya berikrar taat setia kepada Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri, namun sokongan itu berubah selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik ke jawatan berkenaan.


Pada 10 Disember lalu, sekumpulan 15 ADUN GRS dan empat Ahli Parlimen berkenaan mengisytiharkan mereka keluar BERSATU.


PN mendakwa empat Ahli Parlimen terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing selaras pelaksanaan undang-undang antilompat parti yang termaktub dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

— Rafiqah Dahali

Exit mobile version