Site icon Sabah Baru News

Penduduk Kampung Niatang bakal merempat di tanah sendiri

HOLLYNAH Mopuas (kanan) berkongsi masalah mereka kepada Fairuz Renddan (kiri), turut kelihatan Hishamuddin Hashim di hadapan Menara Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Lebih 100 orang penduduk Kampung Niatang, Pitas bakal merempat di tanah sendiri apabila tanah yang diteroka nenek moyang mereka dirampas oleh syarikat swasta.

Pengerusi Badan Bertindak Kampung Niatang, Hollynah Mopuas berkata, mereka telah memohon tanah tersebut secara rasmi pada tahun 1997 namun, tidak mendapat sebarang kelulusan mahupun maklum balas daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Kemudian, mereka terkejut apabila dimaklumkan sebuah syarikat telah mendapat hak pemilikan terhadap tanah berkenaan sejak Februari lalu. Walhal, penduduk kampung terlebih dahulu memohon tanah tersebut.

Malah, kerja-kerja membersihkan dan memusnahkan tanaman getah di kampung itu sedang giat dijalankan sejak beberapa minggu lalu. Kini, hampir separuh kawasan telah pun dimusnahkan.

“Perkampungan yang berada di kawasan Lembaga Kawasan Perhutanan Negeri Sabah (Safoda) itu telah dikeluarkan daripada kawasan diwartakan bagi membolehkan orang kampung duduk di situ.

“Kami yang lebih berhak mendapat pemilikan tanah itu kerana semasa memohon, kami dimaklumkan tanah itu tidak bertindih dengan sebarang permohonan lain,” katanya semasa menghantar memorandum kepada Jabatan Ketua Menteri di hadapan bangunan Menara Kinabalu hari ini.

Hollynah berkata, kehadiran mereka hari ini bagi memohon campur tangan kerajaan untuk menegakkan keadilan dan membela nasib penduduk kampung yang tertindas dan dizalimi.

Menurutnya, cara tanah tersebut dirampas agak menghairankan kerana penduduk kampung yang memohon dengan dokumen yang lengkap pula tidak mendapat kelulusan bagi mendapatkan tanah tersebut.

Jelas beliau, tanah tersebut telah diteroka oleh nenek moyang mereka sebelum zaman penjajahan British namun, agak menyedihkan apabila ia jatuh ke tangan orang luar yang tidak tinggal di situ.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pada masa ini, 20 peratus sahaja lagi kawasan yang belum dimusnahkan.

Jadi, beliau berharap kerja-kerja memusnahkan kawasan kampung itu boleh ditangguh sebelum rumah-rumah penduduk terjejas.

Secara keseluruhan, 1,600 ekar kawasan yang terlibat membabitkan empat buah kampung namun, kawasan Kampung Niatang sekitar 400 ekar.

“Kami bersimpati dengan penduduk daripada suku kaum Rungus itu yang bakal kehilangan tanah yang diduduki sejak zaman nenek moyang mereka. Mereka merupakan penduduk asal yang meneroka dan membangunkan tanah tersebut.

“Kami juga telah mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan mengenai pemilikan tanah di kampung tersebut,” katanya.

Hishamuddin berkata, Pejabat Tanah dan Ukur Pitas mendakwa kawasan perkampungan itu tidak berpenduduk.

“Bagaimana boleh dikatakan kawasan itu tiada penduduk sedangkan ada rumah dan tanah perkuburan yang telah lama berada di situ,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan (Ketua Menteri), Datuk Fairuz Renddan berkata, beliau akan memaklumkan tentang permasalahan dihadapi penduduk Kampung Niatang, Pitas itu kepada Ketua Menteri.

UM

Exit mobile version