Site icon Sabah Baru News

BN, PH tidak tergesa-gesa muktamad pembahagian kerusi – Zahid

LIPIS: Barisan Nasional (BN) tidak akan tergesa-gesa memuktamdkan rundingan pembahagian kerusi dan senarai calon mereka dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan kerusi itu bukan sahaja untuk mencapai kata sepakat, tetapi untuk memastikan kemenangan kepada calon Kerajaan Perpaduan.


“Keutamaan kami untuk pembahagian kerusi bukan sahaja mengenai kesaksamaan tetapi memastikan kemenangan dan penerimaan pengundi terhadap seseorang calon. Justeru, parti dalam Kerajaan Perpaduan akan terlebih dahulu mengadakan perbincangan antara BN dan PH.


“Apabila rundingan di peringkat negeri selesai barulah ia akan dibawa ke peringkat nasional. Kita tidak akan buat sebarang keputusan terburu-buru,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari UMNO Pahang, di Laman Sejahtera, Sungai Koyan, di sini, semalam.


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, calon yang dipilih adalah individu yang disenangi, yang memenuhi jangkaan pengundi di kawasan masing-masing.


“Perjalanan kita masih jauh. Mungkin sehingga Julai atau awal Ogos sebelum kita secara rasmi menghadapi kempen pilihan raya negeri.


“Kita tidak mahu tergesa-gesa untuk mengelak sebarang pertembungan atau masalah terutama apabila calon yang dipilih tidak dapat menyumbangkan kemenangan semasa pilihan raya,” katanya.


Pada 24 April lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata parti komponen Perikatan Nasional (PN) sudah 85 peratus hingga 90 peratus selesai dengan pembahagian kerusi untuk PRN.


Minggu lalu, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya PKR, G Manivannan, berkata pembahagian kerusi PH untuk pilihan raya negeri masih belum selesai, sementara menunggu perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi daripada kedua-dua gabungan itu.

— RoselanAb Malek

Exit mobile version