Site icon Sabah Baru News

Mizz Nina bawa Musa lihat Kaabah sebenar

PETALING JAYA – Tiada gambaran paling indah yang dapat dizahirkan penyanyi juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina impian membawa dan sama-sama berdoa mengerjakan umrah bersama anak kecilnya, Musa di hadapan Kaabah tercapai.,

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pemilik nama lengkap Shazrina Azman, 42, juga menzahirkan rasa syukur apabila dapat membawa Musa melihat Kaabah sebenar selepas bayi itu banyak mendengar dan diberi pendedahan tentang ibadah di Tanah Suci sejak beberapa bulan lalu.

“Ya Allah, jadikanlah Musa ‘cahaya’ untuk ummah dengan akhlak yang baik, legasi yang kuat dan kehidupan yang penuh dengan keimanan, takwa dan tawakkul.

“Alhamdulillah kerana mengizinkan kami berdua untuk berada di sini (Mekah). Musa banyak menonton dan mendengar tentang ibadah haji sejak beberapa bulan lalu. Alhamdulillah, dia dapat melihat perkara yang sebenar (Kaabah),” ujar Nina.

Sewaktu berada di tempat paling suci bagi umat Islam, Nina turut tidak melepaskan kesempatan menadah tangan dan berdoa untuk kesejahteraan dunia dan akhirat buat Musa yang dijadikan anak angkatnya sejak Januari lalu.

“Ya Allah, kurniakanlah dia (Musa) tarbiyyah yang baik dan semoga al-Quran mengajarnya segala yang dia ingin tahu untuk membimbingnya di dunia dan juga di akhirat. Amin,” tulis Nina yang turut mengharapkan agar Musa membesar dengan menjadi seorang individu yang baik.

Pada Ahad lalu, Nina yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagu What You Waiting For menjadi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1444H/2022M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Nina dipilih menerima anugerah bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan atas sumbangan dan jasanya dalam menggerakkan misi kemanusiaan sehingga ke luar negara sejak 2013.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah yang tidak disangka-sangka ini. Saya rasa kurang layak untuk itu sebenarnya. Terdapat, ramai lagi pahlawan kemanusiaan yang lebih hebat daripada saya dengan lebih banyak pengalaman,” ujar Nina dalam Instagramnya.

Sebelum ini Nina pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Noh Salleh pada 2 Julai 2011, namun berpisah pada Ogos lalu selepas 11 tahun melayari alam perkahwinan.

Selepas menanti dengan penuh kesabaran dan melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan zuriat, Nina dan bekas suami akhirnya sepakat untuk mengambil anak angkat iaitu Musa yang kini berusia 10 bulan.

KOSMO! ONLINE

Exit mobile version