Site icon Sabah Baru News

Tiga kru hilang mungkin hanyut ke perairan Indonesia

OPERASI SAR bagi mencari tiga kru kapal tangki MT Pablo yang masih hilang diteruskan memasuki hari keempat, hari ini. Foto IHSAN APMM

JOHOR BAHRU – Tiga kru kapal tangki MT Pablo yang terbakar kira-kira 50 peratus di kedudukan 37.5 Batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Isnin lalu, berkemungkinan hanyut sehingga memasuki perairan Indonesia.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan telah memasuki hari keempat, namun masih gagal menemukan mangsa.

Menurut beliau, operasi SAR yang hendak dijalankan di atas kapal juga masih belum selamat untuk dilakukan.

“Kita telah turunkan tangga namun penilaian masih menunjukkan keadaan kapal belum betul-betul selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) masuk dan melakukan SAR di dalamnya.

“Terdapat kemungkinan mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia berdasarkan simulasi dari Sistem Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS).

“Usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua buah bot ronda milik Maritim Malaysia dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru juga telah memaklumkan kepada pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan tiga kru kapal berkenaan hilang dalam kejadian kebakaran tersebut, manakala 25 yang lain berjaya diselamatkan dengan bantuan dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, masing-masing merupakan warganegara India dengan seorang lagi mangsa, Sabit Shenderovsky, 37, warganegara Ukraine.

KOSMO! ONLINE

Exit mobile version