Site icon Sabah Baru News

‘Kerajaan selesai isu kualiti air di Sandakan secara berperingkat’ – George Hiew

SANDAKAN: Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah kualiti air di daerah ini secara berperingkat selepas tiga pam besar dipasang di Loji Rawatan Air Segaliud.

Ahli Dewan Undangan Negeri Karamunting George Hiew berkata, beliau dimaklumkan mengenainya selepas bertemu Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya, pada Rabu.


Katanya, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut memberitahu kementerian itu sudah memantau kualiti air di Sandakan dan menambah tiga buah pam di Loji Rawatan Air Segaliud untuk meningkatkan kualiti air.


George juga difahamkan bahawa kerosakan pada sistem kawalan pintu di loji tersebut yang menyebabkan bekalan air masin telah pun dibaiki, dan air masin dari Sungai Segaliud tidak lagi dapat mengalir masuk ke Empangan Betotan.

“Bagaimanapun, terdapat aduan bahawa bekalan air di Sandakan masih masin. Bagi perkara ini, Shahelmey menjelaskan faktor musim kemarau dengan jumlah hujan yang rendah, ia akan mengambil masa lebih lama untuk melarutkan air masin yang telah masuk ke dalam empangan sebelum ini.

“Air yang sedia ada di dalam empangan tidak boleh dikeluarkan kerana ia akan menyebabkan krisis kekurangan air di daerah ini. Oleh itu, kita hanya boleh melarutkan air masin itu perlahan-lahan, sehingga ia larut sepenuhnya,” kata George dalam satu kenyataan.


Menurut George, Loji Rawatan Air Segaliud semakin sukar untuk menampung penggunaan air jumlah penduduk yang semakin bertambah.

Justeru itu, katanya, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk mencari satu tapak bersesuaian bagi membina lima tangki simpanan air besar yang dijangka boleh menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Sandakan.


George juga difahamkan bahawa Jabatan Air Sabah dan Sandakan telah menyerahkan laporan mengenai kualiti air di daerah ini kepada Menteri Kerja Raya setiap minggu.

“Saya percaya masalah kualiti air di Sandakan sedang diselesaikan secara berperingkat dan akan selesai sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.

— Winnie Kasmir

Exit mobile version