Site icon Sabah Baru News

Kurangkan politik, tumpu usaha pulihkan negara – Fadillah

KUCHING: Semua parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan harus mengelak daripada terlalu berpolitik sehingga mengabaikan matlamat asal untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pada masa sama, semua yang berada dalam Kerajaan Perpaduan harus menjaga sensitiviti parti komponen lain bagi mengelakkan perselisihan.


Beliau berkata, di pihak pembangkang pula, mereka harus konstruktif dengan memberi teguran yang membina kepada kerajaan untuk memastikan matlamat pemulihan ekonomi dapat dicapai sepenuhnya.


“Kita harus akur dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang mahu kerajaan yang stabil diwujudkan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan negara kita, memulihkan ekonomi negara dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat.


“Jadi kita tidak harus terlalu berpolitik, kerana jika berlaku perubahan kerajaan (lagi), sudah pasti ia tidak akan dapat memberi tumpuan kepada usaha yang dihasratkan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Berjarah Persaudaraan Persatuan Masjid, Bintangor dan Haji Taha Kuching (MBHT) di sini, semalam.


Fadillah berkata, bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS), mereka konsisten memberi tumpuan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan, kekal.


Pada masa sama, katanya, segenap lapisan masyarakat sama ada ahli parti politik mahupun ekonomi harus memberi sokongan kepada kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi pembangunan berterusan dapat dilaksanakan bersama.


“Sebab itu saya amat mengharapkan kita dalam parti politik sama ada di peringkat pembangkang atau kerajaan supaya memberi tumpuan kepada matlamat utama supaya kita terus menjadi sebuah negara dihormati oleh negara luar.


“Jika ini dapat kita lakukan, ia akan memudahkan kita menjemput atau menarik pelabur untuk datang ke negara kita dan inilah fokus GPS kerana kita sedar inilah masa untuk kita membangunkan negara,” katanya.

— Mohd Roji Kawi

Exit mobile version