Sembilan belas daripada mangsa disemadikan menerusi upacara pembakaran di Kuil Rat Samakee, Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu pada Selasa. – Foto REUTERS
BANGKOK: Jasad mangsa yang terkorban dalam kejadian amuk di sebuah pusat asuhan kanak-kanak selamat disemadikan pada Selasa.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan kuil tempat upacara pembakaran dijalankan apabila ahli keluarga dan saudara mara memberikan penghormatan terakhir selepas tempoh berkabung selama tiga hari berakhir Selasa.
Sembilan belas daripada mangsa kebanyakannya kanak-kanak disemadikan menerusi upacara pembakaran di Kuil Rat Samakee, Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu.
Upacara pembakaran yang dibiayai kerajaan itu turut dihadiri Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan menteri Kabinet.
Pada Isnin, penduduk kampung dan sukarelawan bekerjasama untuk membina tempat khas (untuk tujuan pembakaran) di pekarangan Kuil Rat Samkee.
Sami Kuil Rat Samakee, Phra Kru Adisal Kijjanuwat berkata upacara pembakaran dibuat secara terbuka menggunakan arang bertujuan memendekkan proses pembakaran.
Sementara itu, mangsa lain menjalani upacara pembakaran di Kuil Si Uthai dan Thepmongkulpichai pada Selasa.
Khamis lalu, seorang anggota polis yang dipecat membunuh 36 orang termasuk 24 kanak-kanak di Uthai Sawan di wilayah Nong Bua Lamphu, kira-kira 500 kilometer timur laut Bangkok.
Lelaki berusia 34 tahun itu membunuh 23 kanak-kanak yang sedang tidur selepas makan tengah hari, di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.
Dia yang kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan, pulang ke rumah lalu membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum maut menembak dirinya sendiri. — BERNAMA
— AWANI