Site icon Sabah Baru News

GPS kekal dalam Kerajaan Perpaduan, fokus usaha pembangunan negara – Abang Johari

KUCHING : Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan dan seterusnya memainkan peranan bagi mengangkat martabat dan membangunkan negara ini.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun secara dasarnya mereka hanya memberi keutamaan kepada Sarawak namun tidak melupakan Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Pada masa sama, ujar beliau, GPS juga mahukan kerajaan yang kuat di peringkat Persekutuan.

“Sebab itulah (pertimbangan) kami di Sarawak (ialah) kita mahukan satu kerajaan yang stabil, yang harus menumpukan tenaganya ke arah mengangkat martabat Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen pada Ahad,petang.

Konvensyen berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri pemimpin utama 19 parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, GPS turut akur dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Kita juga memberi komitmen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir dan menguruskan negara ini,” katanya. -TVS

Ahmad Burhanuddin

Exit mobile version