Site icon Sabah Baru News

Banjir Sabah: Keadaan beransur pulih, 122 mangsa masih di PPS

Antara mangsa yang ditempatkan di PPS susulan kejadian banjir di Sarawak. – Astro AWANI

KOTA KINABALU: Keadaan banjir di Sabah menunjukkan trend penurunan apabila jumlah mangsa terjejas akibat bencana alam itu turun kepada 122 berbanding 142 mangsa yang dilaporkan semalam.

Menerusi kemas kini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah, jumlah itu membabitkan sebanyak 32 keluarga.

Katanya, tinggal tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih aktif setelah 20 mangsa banjir daerah Penampang yang ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang berjaya dihantar pulang dengan selamat. 

Tiga PPS yang masih aktif itu adalah Dewan PPR Sri Keramat, Putatan yang menempatkan 61 mangsa, PPS di Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU, Papar (10 mangsa) dan PPS di Dewan DSP Mohd Dun Banir, (Membakut) Beaufort dengan 51 mangsa.

Sementara itu, 250 mangsa kebakaran di Kudat masih ditempatkan di PPS Rumah Rehat Daerah Kudat sejak Isnin lalu.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah mangsa akibat daripada bencana banjir dan kebakaran adalah seramai 372 mangsa.

Jumlah itu turut melibatkan 84 ketua isi rumah di kesemua empat PPS yang diaktifkan.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Aminah Aching telah membuat lawatan ke PPS di Beaufort, di sini, hari ini.

AWANI

Exit mobile version