Site icon Sabah Baru News

Wartawan, media arus perdana perlu diberi pengiktirafan negara – PEWARTA

TAWAU: Wartawan profesional serta media arus perdana perlu diberikan pengiktirafan kerana memainkan peranan penting di negara ini khususnya menjadi mata dan telinga rakyat sejak berdekad lamanya.


Pengerusi Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA) Shamry Mohd Sani berkata, peranan pengamal media dilihat terus releven walaupun berdepan dengan cabaran era digital.


Katanya, pada zaman teknologi maklumat ketika ini, sesiapa pun boleh menjadi penyampai maklumat dengan hanya berbekalkan telefon pintar.


“Kepesatan teknologi digital membolehkan maklumat dikongsi dan disiar oleh sesiapa sahaja sekali gus memungkinkan berita palsu disebar luas.


“Penyebaran berita palsu mampu menggugat keharmonian masyarakat terutamanya yang menyentuh isu kaum dan keselamatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Media Aidilfitri PEWARTA yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang, di sini semalam.

Menurutnya, maklumat atau laporan berita tidak sahih yang sering ditularkan pada platform media sosial menuntut pengamal media menjadi ‘ejen penangkis berita palsu.


“Pengamal media juga perlu bijak melaporkan berita supaya tidak mencetuskan prasangka buruk mahupun tuduhan tidak berasas serta berpegang teguh dengan undang-undang sepanjang menjalankan tugas.


“Justeru, beza pengamal media dengan ‘wartawan jadian’ adalah etika kewartawanan iaitu melaporkan fakta benar, tepat dan saksama,” katanya.


Sementara itu katanya, PEWARTA sangat kecewa dengan segelintir pihak yang cuba memperlekehkan tugas wartawan dan bersikap tidak mahu memberikan kerjasama.

Katanya, ada ketikanya wartawan cuba mendapatkan fakta yang sahih daripada individu atau agensi berautoriti supaya berita yang dilaporkan tepat serta tidak terpesong dengan keadaan sebenar.


“Namun, bukan sahaja tidak diberikan kerjasama yang baik, malah diperlekehkan dan dimalukan secara langsung oleh pihak berkenaan.


“Saya berharap semua pihak dapat melihat tugasan seorang wartawan sebaris dengan petugas barisan hadapan negara,” katanya.


Mengulas mengenai PEWARTA, Shamry berkata, pihaknya sedang membuka keahlian kepada seluruh pengamal media di daerah ini termasuklah agensi RTM dan Jabatan Penerangan Malaysia.


“Selain menjaga kebajikan ahli, kita juga fokus dalam membina profesion kewartawanan dengan cara yang sepatutnya.


“PEWARTA akan berusaha mengadakan program-program latihan untuk memperkasakan kewibawaan pengamal media di daerah ini,” katanya.

Katanya, latihan itu dapat meningkatkan profesional wartawan itu sendiri supaya insiden seperti menulis berita bukan berdasarkan fakta tidak akan berlaku .


“Berita palsu adalah isu besar kerana pada hari ini semua individu boleh jadi penulis dengan adanya akses daripada media sosial.


“Situasi berkenaan berbeza dengan syarikat media yang mempunyai tapisan sendiri. Jadi kita perlu tangani dalam landskap media hari ini,” katanya.

Shamry berkata, majlis ini adalah antara usaha PEWARTA untuk meraikan ahli yang selama ini bekerja di belakang tabir dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.


“Majlis ini adalah julung kali diadakan selepas tujuh tahun tidak dilaksanakan kerana pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19.


“Saya merakamkan terima kasih kepada semua yang telah menjadi penaja khususnya pemimpin kerajaan di daerah ini,” katanya.

— Hamzah Sanudin

Exit mobile version