Site icon Sabah Baru News

Hampir 450,000 sertai Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Sabah tahun lalu

Dr. Mohd Arifin melancarkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Program Jom Baca Bersama 10 Minit iaitu satu usaha untuk menjadikan membaca sebagai budaya merekodkan sebanyak 449,631 penyertaan di Sabah tahun lalu, satu peningkatan berbanding 101,126 pada tahun 2016. 

Mengucapkan tahniah kepada Perpustakaan Negeri Sabah selaku penganjur program ini,  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, pencapaiam itu juga menunjukkan perpustakaan mampu berperanan sebagai sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan dan pembelajaran meskipun selepas waktu persekolahan. 

Secara tidak langsung program ini berupaya meningkatkan kualiti pembelajaran dan memaksimumkan keberhasilan murid, tambahnya.

“Penerapan budaya membaca dapat memastikan kemapanan tabiat membaca dan penerusan budaya ilmu dalam kalangan generasi yang berikutnya. 

“Individu yang berpengetahuan ini diharapkan dapat menjadi asas kepada masyarakat Malaysia dan dapat memanfaatkan ilmu dalam aktiviti harian serta pekerjaan masing-masing.

“Membaca merupakan satu kaedah terbaik untuk memperoleh ilmu, mendapatkan fakta serta dapat melatih kefasihan berbicara. Melalui membaca kita juga dapat memperkukuh perbendaharaan kata dan menguasai linguistik,” katanya ketika merasmikan pelancaran Program Jom Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah, di sini hari ini. 

Dr. Mohd. Arifin berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menekankan antara lainnya kepentingan membaca sejak kecil. 

Antaranya ialah Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan pada Ogos 2009, katanya, sambil menambah melalui Program LINUS kebanyakan murid tahun satu hingga tahun tiga tidak lagi mempunyai masalah untuk menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira). 

“Selain itu, program Nadi llmu Amalan Membaca (NIL-AM) dilaksanakan pada 22 Mei 1998 iaitu satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. 

“Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

“Sebagai seorang pelajar, kemahiran literasi maklumat adalah penting. Kemahiran ini membolehkan pencarian maklumat yang tepat dalam apa-apa format dan menggunakan maklumat tersebut secara aktif. Pelajar yang membaca dapat memilih maklumat yang tepat untuk pembangunan kemajuan mereka,” jelasnya.

Dr. Mohd Arifin juga menyeru kepada semua agar merebut peluang untuk mendapatkan bahan bacaan melalui perkhidmatan perpustakaan yang percuma dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. 

“Terdapat juga koleksi dalam bentuk digital, iaitu ebook dan audiobook. Sumber digital ini boleh dimuat turun melalui intemet dan juga amat praktikal kerana sekarang kita dilengkapi dengan kemudahan intemet dan peranti elektronik,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyertai Program Jom Baca Bersama 10 Minit atas usaha, komitmen serta sumbangan yang dicurahkan dalam membantu Kerajaan menjayakan objektif program, dan seterusnya memacu kemajuan dan kemakmuran demi kepentingan rakyat dan negara, khususnya di Sabah.

wartaoriental

Exit mobile version