Site icon Sabah Baru News

Tindakan mencatu elektrik agak mengejutkan – Sim Fui

KOTA KINABALU: Tindakan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengumumkan rancangan pencatuan elektrik bagi menyelesaikan masalah bekalan berkenaan adalah mengejutkan.


Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sim Fui berkata, kerajaan negeri sedang giat memperkenalkan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) dan menarik pelaburan tetapi kini SESB pula mengumumkan cara berkenaan untuk menyelesaikan masalah bekalan elektrik.


“Adakah tindakan itu secara langsung bertentangan dengan dasar pelaburan kerajaan negeri, mengapakan SESB tidak pernah mempunyai jalan penyelesaian terbaik untuk bekalan elektrik di Sabah.


“Tidak dinafikan perkara seumpamanya juga dialami oleh negara jiran tetapi apa langkah positif akan diambil di negeri ini untuk menyelesaikan perkara ini secara tuntas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, sudah sekian lama isu-isu seperti infrastruktur dibangkitkan pihak tertentu tetapi tiada penyelesaian. Keadaan itu sangat mengecewakan rakyat Sabah.


“Kini cuaca panas, pengguna menggunakan penghawa dingin adalah perbuatan tidak salah, tetapi mengecewakan pihak berkenaan bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik tetapi membuat pencatuan dengan alasan penggunaan tenaga berlebihan.


“Kita semua tahu SESB telah membekalkan bekalan elektrik kepada pengguna negeri ini bertahun-tahun lamanya, kini…adakah peningkatan sedikit dalam penggunaan tenaga akan menjejaskan SESB,” katanya.


Oleh itu katanya, jangan menyalahkan pengguna kerana penggunaan tinggi dalam elektrik tetapi cari jalan penyelesaian yang sewajarnya dan bukan menggunakan jalan singkat untuk membuat pencatuan.


Sim Fui juga menyeru agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) campur tangan menyelesaikan perkara ini dan tidak hanya berselindung dibelakang SESB yang menerima tohmahan daripada pengguna.


Dalam pada itu, Sim Fui turut membidas kenyataan Penyelaras Komuniti Cina Parti WARISAN, Chin Tek Ming yang mahu Pengurus Besar SESB meletak jawatan dan memohon maaf.


Katanya, tindakan itu tidak dapat menyelesaikan masalah asal bekalan elektrik sebaliknya ianya akan melambatkan lagi proses.


Katanya, masalah air di Sabah masih dalam terkawal tetapi jalan penyelesaian juga perlu diambil segera. Bagaimanapun, masalah bekalan elektrik pula memerlukan pembinaan lebih banyak logi yang menghasilkan tenaga alternatif seperti tenaga solar dan sebagainya.


“Suruhanjaya Tenaga Malaysia juga perlu membenarkan Sabah membina lebih banyak logi jana kuasa agar mampu menjana lebih banyak tenaga eletrik untuk menampung penggunaan elektrik di negeri ini yang semakin meningkat.


“Kini Sabah mempunyai pelabur besar, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd, usaha kerajaan negeri mampu menarik lebih banyak pelabur yang akhirnya memberikan manfaat kepada negeri ini.


“Oleh itu, kita mesti segera memikirkan jalan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

— Yap Siong Han
 

Exit mobile version